KUALA LUMPUR, 24 Sept:

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Pas seharusnya mengadakan rundingan dengan pakatan meskipun tidak terlibat dengan Pakatan Harapan yang baru dibentuk

Ia katanya bagi memastikan kerjasama antara parti pembangkang itu dalam usaha untuk memenangi Pilihan Raya Umum akan datang.

“Saya berharap Pas lebih terbuka untuk menerima realiti politik di negara ini. Pembangkang seharusnya mempunyai penyatuan yang boleh menyampaikan mesej tepat kepada rakyat bahawa tidak mungkin berlaku lawan tiga penjuru pada PRU akan datang.

“Tetapi kalau mesej yang disampaikan (oleh Pas, Pakatan Harapan) membayangkan pertemuan tiga penjuru pada PRU nanti, ia akan memusnahkan harapan rakyat yang menyokong pembangkang selama ini,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Dalam pada itu, Mahfuz turut berharap agar parti Islam itu bergabung dengan parti pembangkang lain iaitu DAP, PKR dan Parti Amanah Negara.

“Saya masih mengharapkan penyertaan Pas dalam pakatan ini. Walaupun ia (pakatan baru) ditubuhkan tanpa Pas, ia tidak boleh berlarutan.

“Mesti ada keterbukaan untuk jalinkan hubungan dan semua pihak harus sedia untuk berunding dalam mencari jalan untuk berdepan dengan lawan bersama,” katanya.