MAKKAH, 24 September:

Sekurang-kurangnya 717 jemaah terkorban akibat dipijak di Mina, pada Khamis.

Pihak Berkuasa Pertahanan Awam Arab Saudi menerusi akaun Twitternya memaklumkan, jumlah mangsa cedera juga meningkat kepada 863 orang, setakat ini.

Ini adalah tragedi terburuk yang berlaku pada musim haji dalam tempoh 25 tahun ini, sejak 1,426 jemaah maut dipijak dalam sebuah terowong berhampiran Makkah, pada Julai 1990 yang kebetulan jatuh pada Hari Raya Aidiladha ketika itu.

Tragedi itu berlaku apabila sejumlah besar jemaah berasak-asak di Jalan 204, di pusat perkhemahan Mina yang merupakan satu daripada dua jalan utama menuju ke kawasan melontar jamrah yang terletak beberapa kilometer ke timur Makkah, di mana jemaah lazimnya menginap beberapa hari sebelum kemuncak musim haji.

Difahamkan, lebih 220 ambulans dan 4,000 anggota penyelamat telah dihantar ke tempat kejadian untuk membantu mangsa cedera.

Gambar-gambar yang dimuat naik ke laman Twitter Pihak Berkuasa Pertahanan Awam Arab Saudi menunjukkan banyak jenazah bergelimpangan di jalan raya, manakala jemaah yang cedera pula diusung ke ambulans.

“Usaha sedang dilakukan untuk mengasingkan kumpulan-kumpulan besar jemaah dan mengarahkan jemaah lain ke laluan alternatif,” demikian kata Pihak Berkuasa Pertahanan Awam Arab Saudi.

Ini adalah tragedi kedua yang berlaku pada musim haji tahun ini, selepas kejadian kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 September lalu yang mengorbankan lebih 100 nyawa, termasuk tujuh jemaah Malaysia.

Lebih tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia, termasuk lebih 22,000 jemaah haji Malaysia kini berada di Tanah Suci, bagi melaksanakan Rukun Islam kelima itu.

Bagaimanapun, majoriti jemaah haji, termasuk jemaah Malaysia masih berada di Mina untuk mengerjakan ibadah melontar, selepas bermabit (berada seketika atau bermalam) di Muzdalifah malam tadi.

Mereka yang tiba secara berperingkat di Mina itu, memulakan ibadah melontar bermula di Jamrah Kubra pada Khamis, selepas terbit fajar subuh.