JOHOR BARU, 23 September:

Seorang wanita berusia 47 tahun dipukul, diserang dengan penyapu dan dibogelkan, gara-gara gagal membayar hutang sebanyak RM2,000.

Difahamkan, hutang mangsa kini mencecah hampir RM7,000 termasuk faedah, disebabkan kegagalannya membayar RM2,000 yang dipinjamnya tiga tahun lalu daripada sebuah agensi pinjaman wang berlesen di Taman Sti Tebrau.

Drama itu bermula pada jam 2 petang 15 September lalu, apabila peniaga kecil-kecilan itu menemui seorang wakil daripada agensi pinjaman wang berlesen itu dalam sebuah kereta, untuk menyelesaikan hutangnya.

Mangsa kemudiannya ditutup matanya dan dimasukkan dalam kereta, untuk dibawa ke pejabat agensi itu.

Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, suspek-suspek yang termasuk seorang wanita, kemudiannya menyerang mangsa dan membogelkannya.

“Suspek-suspek itu dikatakan turut mengugut akan mengedarkan gambar-gambar bogel mangsa yang diambil dengan telefon bimbit,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Majidee, hari ini.

Sulaiman berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah daerah segera bertindak, berdasarkan satu laporan polis yang dibuat mangsa.

Susulan itu, polis menahan empat suspek lelaki berusia 17 hingga 32 tahun, di pejabat agensi itu di Taman Sri Tebrau.

“Sejumlah lapan telefon bimbit yang dipercayai digunakan ketika insiden itu turut dirampas,” katanya sambil menambah, semua suspek mengaku berada di tempat kejadian, ketika mangsa diserang.

Menurutnya, kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, kerana rompakan berkumpulan.