KUALA LUMPUR, 21 September:

Satu dakwaan kes penderaan kanak-kanak dikatakan berlaku di taska di Ipoh yang mendesak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan.

Awal hari ini, satu rakaman video kanak-kanak dipukul dimuat naik di laman Facebook Friends of BN dikatakan oleh bekas pekerja di situ yang mendakwa penderaan itu berlaku di taska Taman Tasek, Ipoh.

Rakaman berdurasi 53 saat itu memperlihatkan seorang penjaga duduk di antara dua kanak-kanak sambil memegang tangan seorang kanak-kanak lelaki, sementara seorang lagi iaitu kanak-kanak perempuan menangis.

Dalam rakaman itu, wanita yang didakwa sebagai pemilik taska itu dilihat menampar kanak-kanak perempuan terbabit selain memukul tangan dan badan belakang.

Antara keterangan video berkenaan: `Punca budak yang dipukul ini kerana dia telah menggigit budak lain’.

Selain itu katanya, pengalaman daripada pekerja taska sendiri bahawa pemiliknya adalah seorang yang baran dan menyediakan makanan teruk kepada kanak-kanak biarpun ibu bapa membayar mahal.

Malah, dakwanya kanak-kanak di situ selalu dilihat dipukul.

Rakaman video itu ditonton 150,000 views, selain membangkitkan kemarahan pengguna Facebook.
Mohd Sallehin Yusoff menulis bahawa taska tidak sepatutnya beroperasi jika tidak mampu menjaga kanak-kanak.

“Jika tidak boleh jaga kanak-kanak, jangan kerja di pusat jagaan kanak-kanak atau buka pusat jagaan kanak-kanak. Jika tidak, ini yang akan berlaku,” katanya.

“Sedihnya tengok. Kenapa susah sangat untuk memupuk kasih sayang sesama insan,” tulis Rozihan Ibrahim.

Mereka yang mendesak tindakan diambil juga bersikap rasional sambil berkata siasatan perlu dijalankan terlebih dulu.

“Siasat dulu, lebih baik…samada fitnah atau betul…sebelum salahkan mana-mana pihak,” tulis Makmin Min.

Ambia Mokhtar, yang tidak mahu tindakan dilengahkan, berkata: “Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan serta-merta.”

Sejak dimuat naik dalam tempoh lapan jam, video itu dikongsi 4,000 kali dan lebih 2,000 memberi ulasan mereka.