KUALA LUMPUR, 1 September:

Pengerusi Parti Pekerja Malaysia, Mohamad Sabu mengumumkan semua ahli parti itu kini secara rasminya keluar dari Pas.

Katanya, enam ahli parlimen sudahpun mengesahkan penyertaan dalam parti itu walaupun diramalkan seramai 21 ahli parlimen Pas bakal berhijrah.

“Apabila menyertai parti baru, mengikut perlembagaan secara automatik akan terkeluar dari parti asal.

“Setakat ini, ada enam ahli parlimen yang sertai kita. Saya ramalkan semua 21 ahli parlimen akan masuk. Perkata itu akan dibincangkan kemudian,” katanya yang dikenali Mat Sabu dalam sidang media di sini, semalam.

Gerakan Harapan Baru kini sah bergelar sebuah parti politik apabila bergerak melalui Parti Pekerja Malaysia, namun nama parti itu akan ditukar kepada Parti Amanah Negara (PAN), tertakluk kepada kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Mat Sabu berkata, Pakatan Rakyat baru yang bakal dibentuk kelak bersama parti itu dilihat mampu membentuk gabungan lebih hebat dan kuat.

Malah katanya, parti itu menyasarkan penyertaan ahlinya mencecah 35,000 menjelang pelancaran rasminya 16 September ini.

“Kami akan terus beri kerjasama kepada kerajaan sedia ada di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

“Kami yakin dasar Islam parti ini akan dapat sokongan orang Islam dan bukan Islam kerana sifatnya yang inklusif,” jelasnya.