KUALA LUMPUR, 1 September:

Tidak ramai orang Melayu yang menyertai perhimpunan Bersih 4, kerana parti-parti politik Melayu sedang dilanda dilema, menyebabkan masyarakat itu ‘hilang petunjuk’.

Penganalisis politik, Tan Sri Khoo Kay Peng berpendapat, hubungan PAS dengan Gerakan Harapan Baru (GHB) – kumpulan serpihan parti Islam itu retak, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula dibelenggu masalah sendiri.

“Orang Melayu tidak pasti yang mana platform terbaik untuk mereka. Pihak-pihak ini biasanya akan menyediakan logistik untuk mereka sertai mana-mana perhimpunan,” katanya kepada The Rakyat Post.

Menurut, rata-rata rakyat tidak berpuas hati, khasnya dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dianggap sebagai punca kenaikan harga barangan, tetapi kerajaan mendakwa ia baik untuk negara dan boleh menggantikan cukai jualan serta perkhidmatan (SST).

“Adalah sedih kerana Umno dan pemimpin lain tidak memandang serius dan tidak proaktif untuk membantu memulihkan keadaan. Mereka hanya tahu troll situasi itu di Internet,” katanya.

Mengenai tanggapan kaum bukan Melayu menguasai perhimpunan selama 34 jam itu pada hujung minggu lalu, akan memanfaatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Khoo berkata, ia tidak semestinya betul.

“Tidak hadir bukan bermakna mereka puas hati dengannya,” katanya.

Blogger terkenal, Syed Akbar Ali pula berpendapat, masyarakat Melayu masih mengaitkan diri mereka dengan kerajaan dan tidak mahu dilihat di perhimpunan Bersih yang biasanya dikaitkan dengan pembangkang.

Beliau bagaimanapun berkata, perhimpunan Bersih kebelakangan ini lebih menjurus kepada isu nasional, berbanding politik.

Beliau berpendapat, peserta lebih memperjuangkan “pembebasan rakyat” berbanding pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara, apatah lagi pemimpin pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga tidak memakai baju Bersih 4.

“Ini menunjukkan mereka lebih tertumpu kepada isu-isu nasional yang memberi kesan kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, PAS tidak menyertai perhimpunan Bersih 4, memainkan peranan besar yang mempengaruhi bilangan peserta Melayu.

“Sebahagian besar orang Melayu yang menyertai perhimpunan Bersih sebelum ini datangnya daripada PAS,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa tiada orang Melayu yang menyertai perhimpunan Bersih 4, sebaliknya peserta Cina lebih menonjol kerana bilangan mereka lebih ramai.

“Jumlah peserta Cina yang lebih ramai, bukan kerana mereka mahu menggulingkan kuasa politik Melayu, sebaliknya mereka lebih bimbang mengenai masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pada 1999, masyarakat Cina mengundi Barisan Nasional, kerana itu adalah perkara yang praktikal untuk memastikan kestabilan ekonomi negara, ketika krisis ekonomi berlaku.
Kini, katanya, orang Cina keluar berhimpun, kerana mahu melindungi masa depan mereka dan negara.
“Orang Cina akan keluar beramai-ramai, apabila mereka rasa masa depan negara dalam masalah,” katanya.