KUALA LUMPUR, 21 Ogos:

Umat Islam dinasihatkan tidak terbabit dalam permainan ramalan yang semakin hebat dipromosikan melalui laman sosial, kerana ia boleh meruntuhkan akidah.

Timbalan Presiden Gabungan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (GAPPIMA), Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani berkata, hukum permainan ramalan adalah haram dalam Islam dan menjadi dosa besar bagi sesiapa yang terlibat, walaupun sekadar berseronok di laman sosial.

Lulusan bidang syariah dan undang-undang Universiti Al-Azhar itu berkata, hukumannya tetap haram dan balasan di akhirat tetap sama, sama ada bermain atau sekadar like game yang dimain kenalan di Facebook, berkongsi atau mengemas kini status game yang mereka main.

Perunding motivasi, Datuk Mohd Zawani Yusoh pula berpendapat, umat Islam perlu mengkaji bentuk permainan yang ada di laman sosial, dengan melakukan saringan atau menapis maklumat-maklumat diperolehi, supaya tidak terjerumus dalam aktiviti terlarang dan melanggar syariat Islam.

“Perlu tengok isu, kerana dalam Islam, perkara yang berkaitan akidah tidak boleh dibuat suka-suka. Yang betul itu mungkin kebetulan sahaja,” katanya.

Antara soalan ramalan yang mendapat sambutan ramai di laman sosial adalah “Siapakah yang sedang stalk FB anda?”, “Siapakah bakal pasangan anda?” dan “Berapa ramaikah anak yang bakal anda miliki?”.

Profesor di Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Abdul Basir Mohamad menjelaskan, jika isu tersebut melibatkan kepercayaan dan pegangan seseorang yang boleh mempengaruhi tingkah laku dalam kehidupannya, ia dikira membabitkan isu akidah.

“Saya berpandangan, ia boleh dianalogi sebagai mempercayai ramalan yang sangat dilarang Islam.

“Ini boleh dirujuk Surah al-Ma’idah ayat 3 dan juga beberapa hadis Rasulullah SAW, antaranya bermaksud “Sesiapa yang datang bertemu dengan tukang ramalan, kemudian mempercayai apa dikatakannya, sesungguhnya dia telah kufur terhadap wahyu diturunkan kepada Muhammad,” katanya.