KOTA BHARU, 21 Ogos:

Siasatan perlu dibuat ke atas syarikat Darul Ehsan Investment Group (DEIG), yang akan menguruskan pelaburan anak-anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dan gesaan itu dikira adil berdasarkan desakan yang sama yang dibuat membabitkan syarikat pelaburan kerajaan Pusat, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, jika perkara yang sama membabitkan UMNO pembangkang mahu siasatan terperinci dan menyeluruh dilakukan, justeru isu DEIG wajar diberi layanan yang setara.

Katanya, rakyat perlu tahu berkaitan isu yang berlaku di Selangor itu sekarang.

“Saya hanya mahu satu tindakan adil kepada UMNO, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin UMNO yang lain dalam menghadapi kemelut 1MDB.

“Jangan hanya melihat kepada UMNO sahaja, jika mahu siasat, siasat sama DEIG,” tegasnya.

Beliau turut menyentuh mengenai isu dana politik.

“Jika mahu bincang mengenai dana politik UMNO, pembangkang juga perlu nyatakan dari mana mereka dapat dana, biarlah adil,” katanya.

Penubuhan DEIG menimbulkan kontroversi apabila sebuah portal berita pada Rabu melaporkan bahawa kira-kira RM30 bilion nilai aset yang sebelum ini diuruskan oleh MBI dipercayai bakal diletakkan di bawah DEIG yang dikatakan merupakan sebuah syarikat pengurusan risiko pelaburan yang ditubuhkan dengan bernilai RM2.

Laporan itu yang merujuk kepada rekod terkini Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menunjukkan kedua-dua saham DEIG bernilai RM1 didakwa dipegang oleh dua individu iaitu Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua PegawaiOperasi MBI, Soffan Affendi Aminuddin.

Menurut Hishamuddin lagi, jika pembangang betul ikhlas mereka tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan.

Beliau sebelum itu merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu di Bangunan UMNO di sini, Jumaat.