SHAH ALAM, 20 Ogos:

Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengesahkan maklumat yang diperolehi daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bahawa Darul Ehsan Investment Group Berhad (DEIG) masih merupakan sebuah syarikat bernilai RM2.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Muaz Omar dalam satu kenyataan memaklumkan, DEIG kini memiliki modal dibenarkan berjumlah RM10 juta dan carian terbaru di SSM akan mengesahkan fakta berkenaan.

Muaz turut memberitahu, DEIG dimiliki 100 peratus oleh Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor), tetapi rekod SSM menunjukkan sebaliknya.

Seperti dilaporkan The Rakyat Post semalam, dua saham bernilai RM1 dalam DEIG kini dipegang dua individu, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Pegawai Operasi, Soffan Affendi Aminuddin yang juga satu-satunya pengarah syarikat itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi, Muaz berkata, DEIG memiliki modal berbayar sebanyak RM10 juta, sebelum ia diperbetulkan beberapa jam kemudian kepada modal dibenarkan syarikat berkenaan.

Hasil pemeriksaan dengan SSM menunjukkan, DEIG di bawah penelitian, dengan pertanyaan berhubung beberapa borang yang difailkan syarikat berkenaan, termasuk Borang 48A yang diserahkan kepada lewat bulan lalu untuk melantik beberapa pengarah tambahan.

Borang 48A berkaitan akuan berkanun oleh seorang individu sebelum beliau dilantik sebagai pengarah, sebelum perbadanan sebuah syarikat. Namun, butiran lanjut mengenai perkara ini tidak ada.

Hasil pemeriksaan di laman webnya mendapati, beberapa pengarah yang sepatutnya sudah mula bertugas adalah Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan pegawai kewangan negeri, Datuk Noordin Sulaiman.

Pendaftaran DEIG di SSM dibuat pada awal Jun lalu, sebagai sebuah syarikat sendirian berhad, sebelum SSM pada bulan lalu meluluskan pertukarannya kepada sebuah syarikat berhad dengan modal dibenarkan sebanyak RM10 juta.

Sehingga kini, modal yang dikeluarkan ke atas DEIG kekal RM2.

Rekod SSM menunjukkan, jenis perniagaan DEIG adalah pelaburan – “membeli untuk pelaburan atau penjualan semula dan mendagangkan tanah serta rumah dan hartanah lain untuk sebarang tempoh pemegangan dan sebagainya.”

DEIG juga dibenarkan “menyertai mana-mana perkongsian atau penyusunan dengan mana-mana individu atau syarikat terbabit dan sebagainya.”

Ramai bimbang dengan penubuhan DEIG yang boleh bertindak bebas ke atas aset bernilai RM30 bilion milik kerajaan negeri itu.

Sebenarnya, mandat sedemikian membenarkan dua individu yang dinamakan sebagai pemegang saham dan pengarah syarikat berkenaan, mengendalikan aset-aset Selangor tanpa pengawasan kerajaan negeri.

Susulan itu, Dewan Undangan Negeri Selangor semalam bersetuju untuk menangguhkan operasi DEIG, susulan kebimbangan yang dibangkitkan dalam perbahasan dalam dewan, sehingga satu mekanisme pengawasan diwujudkan.