SEMENYIH, 20 Ogos:

Taktik licik sekumpulan penagih dadah yang menjadikan kawasan Ladang Kelapa Sawit di kawasan Perindustrian Samtec, Semenyih sebagai ‘port’ melepaskan gian berjaya dihidu pihak polis.

Dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang itu, polis menahan 43 penagih termasuk seorang wanita yang mempunyai dua anak.

Wanita tersebut dikatakan bekerja sebagai pembantu kedai untuk menyara dua anaknya yang masih bersekolah.

Namun disebabkan masalah ketagihan dadah dia membelanjakan sebahagian besar pendapatannya untuk membeli dadah di kawasan itu.

Dalam operasi yang bermula kira-kira jam 3 pagi dan berakhir 12.30 tengah hari tadi, polis turut menahan seorang penjawat awam yang digantung kerja dan pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan menghisap dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, ACP M Tahir Kassim berkata, ketika serbuan dilakukan semua penagih sedang khayal kerana pengambilan dadah.

Ketua JSJN Selangor, ACP M Tahir Kassim menunujukkan sebahagian daripada kira-kira 146 gram heroin, 17 gram syabu dan 1.8 gram ganja yang dianggarkan bernilai RM5,500 yang berjaya dirampas polis.
Ketua JSJN Selangor, ACP M Tahir Kassim menunujukkan sebahagian daripada kira-kira 146 gram heroin, 17 gram syabu dan 1.8 gram ganja yang dianggarkan bernilai RM5,500 yang berjaya dirampas polis. – Foto PDRM

“Siasatan awal mendapati setiap paket dadah dijual dengan harga RM40 hingga RM50 sepaket.

“Kami percaya terdapat aktiviti pengedaran dadah di kawasan itu dan kemungkinan akan berpindah ke kawasan lain,” katanya.

Semua penagih yang berusia 20 hingga 50 tahun dibawa ke Balai Polis Semenyih untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.