KUALA LUMPUR, 3 Ogos:

Taktik pengedaran dadah melalui botol minuman terkenal berjaya ditumpaskan polis, selepas empat lelaki dan tiga wanita ditahan dalam serbuan berasingan sejak Jumaat hingga Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, ACP Wan Abdullah Ishak berkata, sindiket pengedaran dadah dalam bentuk air minuman berperisa ribena, oren dan teh o ais limau dikenal pasti sejak hujung tahun lalu dan kembali aktif tahun ini dengan modus operandi berbeza.

Menurutnya, sindiket itu menggunakan campuran dadah ke dalam air minuman berperisa, sebelum dipasarkan ke sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Sindiket itu mencampurkan dadah jenis ecstacy dan ketamin ke dalam minuman, sebelum dipasarkan dengan harga RM70 hingga RM150 sebotol.

“Minuman ini digunakan di pusat hiburan dan pesta persendirian tanpa dikesan polis,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, tujuh suspek yang berusia antara 20 hingga 28 tahun dan bekerja di kedai aksesori kereta itu, menyewa sebuah rumah teres di Pandan Perdana sejak 10 bulan lalu, untuk memasukkan dadah ke dalam jus minuman.

Menurutnya, polis turut merampas 264 botol minuman pelbagai jenama terkenal yang dicampur dengan dadah serta sebuah kereta.

“Sindiket ini mendapat tempahan dua hari sebelum penghantaran oleh pelanggan yang dikenali dan pernah berurusan dengan mereka.

“Kawasan jualan adalah di Cheras, Batu 9, Kajang dan Serdang,” katanya.

Menurutnya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM38,440 dan kesemua suspek ditahan reman sehingga 7 Ogos ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.