KUALA LUMPUR, 2 OGOS:

Walaupun Hari Harimau Global diluluskan pada 29 Julai lalu, Perikatan Pemuliharaan Malaysia bagi Harimau (MYCAT) menggesa rakyat Malaysia untuk melakukan lebih daripada duduk dan menonton kerana Harimau Malaya kini semakin terancam.

Jurucakap World Wildlife Fund (WWF) Malaysia, Shariff Mohamad berkata, kini hanya terdapat 240 hingga 350 baki Harimau Malaya di hutan Semenanjung Malaysia.

“Kami telah menyediakan pelan yang komprehensif yang diberi nama sebagai Central Forest Spine Master Plan for Ecological Linkages dan ia bakal mengenal pasti hubungan ekologi dan langkah-langkah yang diperlukan untuk mengatasi masalah kepupusan Harimau Malaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini bagi pihak MYCAT.

Shariff berkata, terdapat juga keperluan untuk meningkatkan rondaan oleh agensi-agensi penguatkuasaan, khususnya di lokasi Harimau Malaya berkeliaran.

“Sungguh mengejutkan apabila 94 Harimau Malaya telah dirampas di Malaysia pada tahun 2000 hingga 2012 termasuk kulit dan tulang harimau berkenaan dari orang tengah di Kedah.

 “Malangnya, ia hanyalah sebahagian kecil daripada bilangan itu. Tidak dinafikan banyak lagi kes pemburuan haram harimau dikesan. Pemburuan sebesar ini menimbulkan ancaman serta merta kepada kelangsungan hidup harimau, serta hidupan liar lain,” katanya.

Beliau berkata, jika usaha penguatkuasaan diletakkan di pintu masuk hutan simpan, aktiviti pemburuan haram dapat dikurangkan.

“Majoriti habitat harimau di Semenanjung Malaysia terdiri daripada rizab hutan dan banyak yang terdedah dengan aktiviti pembalakan.

“Rangkaian jalan pembalakan meningkatkan akses untuk pemburu haram meneroka ke kawasan pedalaman dalam hutan melalui kenderaan off-road untuk memburu menggunakan senjata api dan jerat,” katanya.

Tambahnya, bagi melindungi habitat hidupan liar, kawasan jenut garam juga perlu diwartakan sebagai kawasan perlindungan kerana spesis harimau mencari mangsanya di kawasan tersebut.

“Jenut garam merupakan sumber yang penting untuk rusa dan spesis mangsa harimau. Usaha perlu dibuat untuk melindungi kawasan jenut garam daripada gangguan manusia dan pembangunan dengan mengklasifikasikan sebagai Nilai Pemuliharaan Tinggi Hutan dan rondaan perlu dilakukan secara teratur,” katanya.