KOTA KINABALU, 24 Julai:

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Salleh Said Keruak sudah mengagak bahawa The Edge memang telah ‘berurusan’ dengan Xavier Andre Justo.

Dalam posting terbaru di blognya hari ini, Speaker Negeri Sabah itu berkata apa pun yang berlaku sama ada benar atau tidak The Edge menipu Justo untuk membayarnya sebagaimana yang mereka perakui, hakikatnya tetap sama bahawa mereka berurusan dan banyak melibatkan rundingan.

“Hakikat bahawa The Edge mungkin telah menipu Justo atau memang tidak mahu membayarnya adalah satu perkara.

“Namun fakta di mana terdapat urusan antara The Edge dan Justo adalah fakta yang tidak boleh dinafikan. Dan itulah isu yang sebenarnya, bukan isu bahawa Justo telah ditipu,” katanya.

Segala pendedahan yang dibuat oleh akhbar Singapura, daripada butir temubual yang dibuat dengan Justo yang kini ditahan di Thailand jelas menunjukkan terdapat urusan antara mereka.

“Ia jelas, bagaimana pun mereka tidak dapat menyelesaikan transaksi itu kerana Justo telah ditahan sebelum wang berkenaan boleh dipindahkan

“Menurut Justo, penangguhan itu kerana The Edge tidak berpuas hati dengan cara duit itu akan dipindahkan, yang mana ia boleh dikesan. Mereka mahu ia dilakukan tanpa dapat dikesan,” katanya.

Bagaimana pun katanya, akhirnya terdapat persetujuan untuk memindahkan wang berkenaan melalui ‘orang tengah’ yang selepas itu akan memindahkan wang berkenaan kepada Justo, dalam usaha untuk menyelamatkan The Edge daripada kaitan dengan Justo.

“Jadi, The Edge telah pun menyedari bahawa apa yang mereka lakukan adalah satu kesalahan dan mereka cuba untuk menutup jejak mereka.

“Namun, menurut The Edge berkata mereka enggan membayar kepada Justo kerana mereka memang tidak mahu berbuat demikian sejak awal lagi. Justo berkata dia tidak tahu sama ada wang berkenaan benar-benar telah dibayar kepada ‘orang tengah’ kerana dia ditangkap sebelum dapat menerima wang itu,” katanya.

Jadi, Salleh percaya berdasarkan keterangan Justo, terdapat kemungkinan ‘orang tengah’ berkenaan telah menerima wang terbabit dan masih lagi memilikinya.