KUALA LUMPUR, 13 Julai:

Laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) digodam oleh satu kumpulan yang tidak dikenali, hari ini.

Dalam insiden pada kira-kira jam 2 petang tadi, penggodam menukar gambar profil akaun dan foto Facebook dengan imej yang menyokong sentimen ekstrim Negara Islam (IS).

‘Serangan’ bermula pada jam 2.10 petang apabila foto Facebook ditukar dengan imej yang mengandungi perkataan ‘Khilafah Has Returned” (Khilafah Kembali) dengan gambar lelaki memegang bendera ikonik IS, sementara gambar profil pula ditukar dengan foto bayang bendera di mata seorang perempuan.

Beberapa minit kemudian, satu lagi foto yang mempunyai imej pejuang IS bersama senjata AK-47 dimuat naik dengan perkataan ‘Viva Islamic State’ pada statusnya.

Posting berkenaan mendapat 460 likes dan dikongsi 30 kali oleh pengikut PDRM.

Dalam satu posting, penggodam memperkenalkan diri mereka sebagai: “We are :Mauritania Attacker – AnonxoxTn – StingerByte – Mr.Domoz – Th3Falcon – HusseiN98D – Dr’SaMiM-008 – n0name-haxor – hAxOr tr0jAn – BillGate – Mr.Ajword – Extazy007 – Psyco_Hacker – Black Cracker – Virusa Worm – Donnazmi – X-Wanted – De_Reb0rNz – Tunisian Cracker – L’APoca-Dz – Psyf3r – Vortex”.

Satu bahagian dalam laman itu turut ditukar kepada ‘HACKED BY ANONGHOST‘.

PDRM dalam laman mikro media Twitter mengesahkan akaun Facebook mereka digodam dan berkata ia dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Mana-mana maklumat yang disebarkan selepas ini adalah TIDAK BENAR,” kata PDRM di Twitter.

Kenyataan itu dibuat susulan posting palsu yang menyebut: “Kita tidak punya hubungan dengan Anonymous. AnonGhost berbeza dengan Anonymous, sasaran kami tidak serupa dan penggodaman kami dalam peringkat berbeza.

Kami merupakan suara mereka yang dilupakan, pejuang kebebasan di dunia siber dan sasaran utaman kami adalah Sionisme dan israhell, sekiranya anda bertanya mengapa laman web anda digodam oleh kami, ia hanya kerana kami mahu berkongsi mesej kami dan memberitahu dunia siapa kami, kami bukan mahu menjadi terkenal tetapi kami mempunyai sasaran dan kami menyokong semua kumpulan penggodam dan kami menyokong pergerakan kebebbasan di dunia.

Beberapa pengguna Facebook mengambil kesempatan mengkritik penggodam, antaranya Nan Asklinux yang berkata: “Sekiranya anda orang Islam anda kini mengugut satu negara Islam dan semoga Allah mengutuk anda. Sayangi Rasulullah… benci ISIS…”