KUALA LUMPUR, 13 Julai:

Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang digodam kira-kira jam 2.20 petang tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pakar dalam bidang teknologi maklumat sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

“Buat masa ini, kita tidak membuka akaun laman sosial yang baru dan melihat kepada keadaan.

“Sekiranya perlu kita akan menggantung laman sosial itu,” katanya pada sidang media di Plaza Low Yat, hari ini.

Beliau menegaskan hanya akaun Facebook dan Twitter sahaja mengalami masalah dan digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pengodam menukar gambar profil akaun dan foto facebook dengan imej menyokong sentimen ekstrim Negara Islam (IS).

‘Serangan’ bermula pada jam 2.10 petang apabila foto Facebook ditukar dengan imej yang mengandungi perkataan ‘Khilafah Has Returned” (Khilafah Kembali) dengan gambar lelaki memegang bendera ikonik IS, sementara gambar profil pula ditukar dengan foto bayang bendera di mata seorang perempuan.

Beberapa minit kemudian, satu lagi foto yang mempunyai imej pejuang IS bersama senjata AK-47 dimuat naik dengan perkataan ‘Viva Islamic State’ pada statusnya.

“Mana-mana maklumat yang disebarkan selepas ini adalah TIDAK BENAR,” kata PDRM di Twitter.