KUALA LUMPUR, 13 Julai:

Gerakan Harapan Baru (GHB) mengutuk sekeras-kerasnya sebarang usaha pihak tertentu yang cuba meniupkan sentimen perkauman ke atas insiden yang berlaku di Plaza Low Yat di sini baru-baru ini.

Pengerusinya, Mohamad Sabu berkata, isu perkauman dilihat cuba dimainkan bagi membuatkan rakyat sibuk dengan pergaduhan yang ditimbulkan itu.

Menurutnya, isu perkauman digunakan untuk menutup penyelewengan dalam negara yang didedahkan sebelum ini.

“Isu ini dimainkan bagi menutup mengenai isu Majlis Amanah Rakyat, Tabung Haji, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga kenaikan harga barangan disebabkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Kami berharap pihak polis menyiasat sepenuhnya dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat,” katanya pada sidang media di sini.

Tambah Mohamad, isu perkauman ini dilihat cuba digunakan sekali lagi seperti mana yang berlaku dalam Operasi Lalang pada penghujung 80-an dahulu.

Jelasnya, isu perkauman yang dimainkan oleh pihak tertentu menyebabkan pemimpin pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan yang menjadi mangsa.

“Oleh itu, polis diminta mengambil tindakan ke atas individu yang dikatakan mencuri dan mereka yang menjual barangan palsu tersebut.

“Gunakan peruntukan undang-undang yang ada di Malaysia ini untuk mengambil tindakan kepada mereka yang bertanggungjawab dalam insiden berkenaan,” ujarnya.