KUALA LUMPUR, 10 Julai:

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menjelaskan mengenai pembelian hartanah di luar negara.

“Ia terutamanya membabitkan hartanah di Australia yang kini disiasat oleh polis negara itu. PAC membuat keputusan untuk memanggil mereka semasa minggu terakhir bulan Ogos dan surat panggilan akan dihantar oleh setiusaha PAC minggu hadapan,” kata Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan laporan interim audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Jazlan, terdapat pembelian lain yang turut dibuat oleh MARA dan PAC katanya sedang meneliti dasar kepada pembelian itu.

“Saya diberitahu terdapat beberapa pembelian lain jadi kami mahu melihat polisi MARA bila ia melibatkan pelaburan hartanah di luar negara.

“Kami mahu menyemak sama ada lebihan bayaran yang dilaporkan media itu wujud atau tidak,” katanya.

Cabang pelaburan MARA, Mara Incorporated Sdn Bhd, diselar berhubung pembelian hartanah di Australia.

Akhbar Australia, The Age melaporkan pegawai atasan Mara, pegawai kanan dan bekas ahli politik didakwa membelanjakan jutaan dana kerajaan untuk membeli sebuah blok apartmen di Melbourne dalam penipuan.

Akhbar itu mendakwa, “sekumpulan pegawai kerajaan kaya Malaysia” membayar lebih A$4.75 juta (RM13.8 juta) untuk blok apartmen itu pada 2013.