SHAH ALAM, 8 Julai:

Proton Holdings Bhd, yang menyambut ulang tahun ke-30 hari ini, akan mempertaruhkan tiga model generasi baru tahun hadapan bagi meningkatkan jualan dan prestasi kewangan.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata model baru tersebut merupakan peningkatan daripada model sedia ada iaitu Saga, Persona dan Perdana hasil kerjasama dengan syarikat pengeluar kereta terkemuka Jepun, Honda.

“Dalam industri automotif, memang kita ada pinjam meminjam teknologi. Syarikat kereta gergasi (yang lain) pun bertukar-tukar teknologi. Dalam hal ini, kita cuma menggunakan platform sahaja daripada Honda dan yang lain adalah hasil usaha kita sendiri.

“Saya benar-benar berharap ketiga-tiga model yang akan memasuki pasaran secara berperingkat mulai Januari tahun hadapan akan mendapat sambutan yang memberangsangkan,” katanya pada majlis berbuka puasa Proton di sini, hari ini.

Beliau berkata model-model tersebut akan memiliki reka bentuk dan sistem elektronik terkini mengikut cita rasa pengguna zaman ini, serta dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang mencukupi.

Mahathir berkata prestasi Proton agak kurang baik sekarang ini walaupun telah berusaha dengan gigih menghasilkan kereta yang berkualiti dan canggih setaraf kereta luar negara seperti model Iriz.

“Saya dapati model Iriz sangat baik kerana amat ringan dan mudah dipandu berbanding dengan kereta luar negara yang sama kualiti. Namun sambutan pengguna kurang baik.

“Walau bagaimanapun, baru-baru ini kita dapati sambutan bagi model Preve lebih baik,” katanya.