KUALA LUMPUR, 3 Julai:

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket penipuan dalam talian, selepas 12 penjenayah ditahan dalam serbuan berasingan sejak awal bulan lalu.

Timbalan Ketua Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Hamza Taib berkata, semua suspek berusia 20 hingga 80 tahun itu ditahan, kerana dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan dan berperanan sebagai penjaga akaun, penyelia dan pengutip wang.

Menurutnya, seorang daripada suspek itu ditahan, selepas mengambil wang daripada mangsa di Damansara pada 22 Jun lalu.

“Polis merampas wang tunai RM16,000 bersama 57 keping resit deposit wang, dengan 14 nombor akaun berlainan yang dianggarkan kira-kira RM300,000.

“Kami percaya akaun bank ini dimiliki individu atau syarikat yang dijadikan perantara atau keldai, sebelum wang tersebut sampai kepada penjenayah,” katanya pada sidang media hari ini.

Hamza berkata, sindiket ini membuat panggilan telefon menggunakan taktik ‘spoofing’, iaitu ‘voice over Internet protocol’ (VOIP) dan menghubungi mangsa untuk memberitahu ahli keluarga atau anak mereka ditahan polis.

Menurutnya, suspek akan memaklumkan anak mangsa ditahan, kerana terbabit dalam kes dadah dan menawarkan bantuan selepas membayar wang yang diminta.

Katanya, melalui aplikasi itu, nombor telefon anak mangsa akan terpapar di skrin telefon untuk meyakinkan mangsa.

“Mangsa yang cemas akan mengikut kemahuan suspek dan perlu memberi wang yang diminta dalam tempoh kurang tiga jam.

“Ada di antara mangsa menyalurkan duit melalui akaun bank dan wang ditinggalkan di sebuah tempat terpencil,” katanya.

Hamza berkata, setakat ini, sebanyak 41 kes telah dilaporkan membabitkan kerugian kira-kira RM1.3 juta.

Beliau berkata, sindiket ini beroperasi di luar negara dan menyasarkan warga tempatan yang mempunyai anak tinggal berjauhan dengan keluarga.

“Orang ramai dinasihatkan tidak cemas, apabila berhadapan situasi ini dan mendapatkan bantuan polis dengan segera,” katanya.

Semua 12 suspek direman untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Subseksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).