KUALA LUMPUR, 30 Jun:

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek mengesahkan kenaikan harga baru petrol bermula 1 Julai.

Perkara itu disahkan beliau ketika dihubungi The Rakyat Post, hari ini.

Harga baru itu merangkumi kenaikan bagi RON97 sebanyak 20 sen, menjadikan perubahan harga daripada RM2.35 seliter kepada RM2.55 seliter.

Bagi RON95 pula, kenaikan harga sebanyak 10 sen, iaitu daripada RM2.05 kepada RM2.15 yang berkuat kuasa tengah malam ini.

Harga diesel bagaimanapun kekal pada RM2.05 seliter dan semua kenaikan itu termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kecuali untuk RON95.

Terdahulu, Hasan mengingatkan pengguna bahawa kementeriannya tidak akan membuat pengumuman awal mengenai perubahan harga petrol bulanan.

The Star hari ini memetik menteri itu sebagai berkata, pengguna hanya akan mengetahui perubahan harga petrol pada tengah malam.

Harga baru bahan bakar itu biasanya diumumkan di laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Petronas Malaysia (Pesamp), Datuk Abu Samah Bachik ketika dihubungi berkata, pihaknya juga tidak mendapat maklumat awal mengenai harga terbaru bahan bakar itu, meskipun harga baru akan mula berkuat kuasa jam 12 tengah malam ini.

“Setakat ini belum ada pengesahan, sepatutnya kementerian sudah umum sekarang (jam 9 malam).

“Tetapi, sekarang kementerian sudah buat harga automatik (auto price) dan terus masuk dalam sistem. Kita tidak tahu dan tidak dapat maklumat awal,” katanya.