JOHOR BAHRU, 27 Jun:

Keputusan Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Datuk Khairul Anwar Rahmat melepaskan semua jawatannya dalam UMNO dilihat sebagai tindakan peribadi dan perlu dihormati.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata beliau mengakui tidak dimaklumkan mengenai peletakan jawatan Khairul namun bersedia untuk bertemu dengan Khairul untuk mengetahui sebab sebenar.

“Sebab utama saya pun tak tahu, jadi saya tidak hendak ulas (lanjut). Kami menghormati keputusannya, mungkin dia ada sebab mengapa dia lakukan,” kata beliau kepada pemberita selepas program Ziarah Ramadan di Masjid Kampung Melayu Pandan, di sini hari ini.

Menteri Besar Johor itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Khairul, yang juga Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), melepaskan kesemua jawatannya dalam parti itu bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja kemasyarakatan dan perluasan operasi syarikatnya berkuat kuasa 11 Julai ini, pagi tadi.

Dalam satu kenyataan di sini, Khairul berkata beliau turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang dan Ketua Sekretariat Perundangan UMNO Malaysia.

Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Permas berkata UMNO Johor menerima keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti itu yang dijadual pada tahun depan kepada selama 18 bulan bagi memberi keutamaan kepada rakyat serta usaha memperkukuh parti itu.

Mohamed Khaled berkata keputusan yang diambil MT adalah bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada persediaan yang rapi untuk memperkukuh parti bagi berhadapan pilihan raya akan datang yang dijangka lebih mencabar.

“Antara cabaran yang dihadapi setiap kali musim pemilihan ialah perbalahan berterusan serta perpecahan dalam kalangan pemimpin dan anggota parti yang akan memberi kesan yang buruk terhadap parti itu sendiri.

“Untuk parti berjaya, parti perlu lebih kuat dan untuk kuat, ia perlu bersatu padu dan kami perlu elak keadaan parti boleh berpecah,” katanya.