KUALA LUMPUR, 26 Jun:

Seorang lelaki mengamuk dan membelasah isterinya hanya kerana kemahuannya tidak dipenuhi, di kediaman mereka di Kampung Sungai Puntar, Gurun, Kedah, di sini, Selasa lalu.

Harian Metro melaporkan kejadian berlaku kira-kira 12 tengah malam sewaktu mangsa berusia 31 tahun sedang tidur sebelum dikejutkan suaminya, 30-an yang ingin mengadakan hubungan seks.

Menurut sumber, mangsa bagaimanapun menolak dengan cara baik kerana memberi alasan kepenatan menyebabkan suaminya tidak berpuas hati dan terus memarahinya.

“Tidak cukup dengan itu, suspek yang dalam kemarahan bertindak menumbuk muka isterinya beberapa kali menyebabkan mangsa mengerang kesakitan.

“Dalam kesakitan dia merayu dilepaskan namun lelaki itu terus memukulnya selama beberapa minit sebelum beredar,” katanya.

Sumber berkata, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di mata dan muka kerana dibelasah suaminya.

“Difahamkan ini bukan kali pertama mangsa diperlakukan sedemikian rupa kerana suaminya itu panas baran dan jika berlaku perselisihan faham dia turut dibelasah.

“Mangsa yang tidak tahan sering dipukul suaminya bertindak nekad membuat laporan di Balai Polis Gurun untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.