KUALA LUMPUR, 24 Jun: 

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Norazli Musa atau lebih dikenali sebagai Ustaz Taliban menafikan bahawa beliau ada menyebut perkataan keluar PAS boleh menjadi kafir.

Menurutnya, sebenarnya beliau dipanggil untuk memberi tazkirah Ramadan di Masjid Lama Jelai di Batu Kurau, Perak dan ucapannya itu merujuk kepada jemaah Islam bukannya jemaah PAS.

“Pada malam itu, saya ada membacakan satu hadis Rasulullah. Hadis itu panjang dan Nabi SAW menyatakan aku perintahkan kamu dengan lima perkara kerana Allah SWT perintahkan aku lima perkara.

“Yang pertama adalah hendaklah kamu duduk dalam jemaah, kedua bila kamu sudah duduk dalam jemaah, kata nabi, hendaklah kamu dengar cakap pemimpin kamu, ketiga mesti taat kepada pemimpin kamu, keempat bila sampai waktu berhijrah kena hijrah dan yang kelima hendaklah kamu berjihad di jalan Allah SWT,” katanya memetik laporan Harakahdaily.net.

Menurut Ustaz Norazli, Rasulullah berkata, barang siapa yang memisahkan diri dari jemaah maka akan terungkai atau tercabut ikatan Islam daripada tengkuknya.

Jelasnya, oleh kerana para sahabat berasa bimbang dengan hal itu maka mereka bertanya kepada Nabi Muhammad S.A.W bahawa, jika orang itu rajin solat dan berpuasa, bagaimana?

“Kata Rasulullah, betul dia rajin solat atau berpuasa tetapi walaupun dia mendabik dada akan terungkai ikatan islam dari tengkuknya. Saya hanya berkata mengenai jemaah Islam bukannya kata siapa yang keluar PAS adalah kafir.

“Ini satu fitnah yang dilakukan kepada saya. Kalau ada rakaman video atau bukti sila kemukakan kepada saya kerana saya dapati bahawa orang yang memaparkan video tersebut dalam Facebook tidak hadir dalam majlis tazkirah saya,” katanya.

Beliau berkata, sebaran fitnah itu turut memberi kesan kepada dirinya apatah lagi setelah dilantik sebagai AJK PAS Pusat.

“Ini satu fitnah kepada saya dan saya sudah berbincang dengan peguam untuk ambil tindakan undang-undang kerana tindakan itu amatlah memberi kesan kepada saya apatah lagi setelah saya dilantik sebagai AJK Pusat dan ianya akan memberi kesan kepada jemaah PAS itu sendiri kerana akan dilabelkan mengkafirkan orang.

“Saya tegaskan di sini, saya tidak pernah mengeluarkan perkataan siapa yang keluar PAS itu kafir,” katanya.