KUALA LUMPUR, 17 Jun:

Peguam korporat merangkap bekas ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong bakal merangka pelan pembangunan pelancongan negara yang baharu selepas beliau menggantikan Tan Sri Ng Yen Yen selaku Pengerusi Tourism Malaysia.

“Ia adalah satu kejutan yang benar-benar dihormati,” kata anak kelahiran Kelantan, berusia 62 tahun kepada The Rakyat Post ketika diminta mengulas mengenai perlantikan tersebut.

Menurutnya, menggalas jawatan tersebut bukanlah suatu yang mudah kerana untuk memulihkan imej pelancongan negara merupakan satu cabaran kepadanya.

“Buat masa terdekat ini, saya akan bertemu dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz untuk mendengar amanat dalam menentukan masa depan pelancongan negara.

“Kemudian saya akan himpunkan semua pengarah pelancongan di dalam dan luar negara dan lihat bagaimana cara terbaik kita boleh bergerak ke hadapan,” katanya.

Tambahnya, ini merupakan masa terbaik untuk Malaysia bergerak ke hadapan untuk menarik para pelancong dan pelabur asing selaku negara yang berpotensi dalam industri pelancongan dan ekonomi.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Kuala Lumpur, Wong Tuck Hing berkata, beliau berharap agar Wee akan melibatkan syarikat pelancongan swasta demi memahami kehendak dan keperluan industri pelancongan di negara ini.

“Ia akan memberi manfaat kepada Wee kerana beliau mempunyai latar belakang undang-undang dan dalam pada masa yang sama, dapat juga memahami apa yang boleh ditawarkan industri pelancongan Malaysia kepada semua pelancong dalam setiap kategori termasuklah pelancongan bajet,” katanya sambil menambah yang pentadbiran Tourism Malaysia¬† sebelum ini jarang meminta pendapat mereka.

Ujarnya, Tourism Malaysia perlu lebih agresif dalam bekerjasama dengan syarikat-syarikat swasta mengenai perubahan yang diperlukan untuk mempromosikan Malaysia sebagai lokasi wajib dikunjungi.

“Kami biasanya menerima jumlah pelancong antara 200 hingga 300 bas pelancong dari China melalui Malaysia-Singapura semasa Tahun Baru Cina.

“Tahun Baru Cina lepas, kami hanya menerima kira-kira 20 hingga 30 buah bas,” katanya.

Wee memulakan kerjaya politiknya selepas menyertai DAP pada tahun 1990 dan dilantik sebagai Ahli Parlimen (ketika itu) Kuala Lumpur kemudiannya ditukar nama kepada Bukit Bintang.

Dia dibuang dari kerusi tersebut berikutan kes mahkamah dan telah dikeluarkan dari DAP pada 1998 selepas dituduh merosakkan imej parti itu.

Beliau kemudiannya menubuhkan Parti Demokratik Malaysia dan oleh kerana masih menunggu keputusan mahkamah terhadapnya pada tahun 1995, Wee hanya bertanding dalam pilihan raya umum 2004.

Pada pilihan raya umum 2008, Wee dijemput menyertai PKR dan memenangi kawasan Wangsa Maju. Pada tahun 2010, beliau meninggalkan parti tersebut dan menjadi ahli bebas.