GEORGE TOWN, 17 Jun:

Sudah menjadi kebiasaan orang Islam di mana sahaja untuk menjadikan buah kurma atau tamar sebagai makanan pertama yang dijamah selepas lebih 12 jam menahan lapar dan dahaga ketika dalam bulan Ramadan.

Apatah lagi mengambil buah kurma itu selepas berpuasa merupakan sunnah Rasulullah SAW dan mengikuti cara baginda itu juga akan mendapat ganjaran dari Allah SWT.

Walaupun harga buah berkenaan meningkat selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan, ia masih mendapat sambutan hangat dan masih banyak dijual di Penang Street di sini.

Seorang peniaga, Mohamed Meera Sahib yang juga pengarah Mohamed Meera Sahib (M) Sdn Bhd berkata, cukai GST menjadikan harga buah kurma meningkat sedikit.

“Kalau dahulu sekotak kurma seberat 500 gram berharga RM10, kini harganya meningkat 60 sen, namun jualan buah ini tidak terjejas,” katanya ketika ditemui di kedainya.

Tambahnya, pelanggannya turut bertambah kira-kira 500 orang sejak dua minggu lalu berbanding 1,000 setiap hari.

Seorang lagi penjual, Shaik Dawood Firdaus berkata, mereka menempah kira-kira 25,000 kilogram kurma pelbagai jenama dari negara pengeluar di Timur Tengah untuk memenuhi permintaan ketika bulan puasa.

“Kami menjual lebih 50 jenis kurma termasuk Mariami, Safarni, Oman, Kas dan Lulu.

“Harga kurma bergantung kepada kualiti dan negara pengeluar; yang paling mahal berharga RM100 sekilogram sementara yang paling murah RM6 sekilogram,” katanya.

Seorang pelanggan tetapnya, Hamzah Hassan, 60 yang membeli kurma di kedai itu berkata, keluarga kecilnya hanya membeli satu kilogram kurma untuk seminggu.

“Harganya mahal sikit tahun ini tetapi kami masih beli kurma kerana Ramadan tidak akan lengkap tanpa kurma.

“Kami berbuka dengan kurma dan bersahur juga dengan kurma, sama seperti Rasulullah SAW,” katanya kepada The Rakyat Post.

Tambahnya lagi, berbuka dengan kurma lebih elok daripada makan makanan lain kerana kandungan gula semulajadi yang tinggi dalam kurma mempunyai khasiat untuk badan.

“Makan makanan lain dengan kuantiti yang banyak selepas berpuasa tidak elok untuk badan, terutama ketika badan lemah.

“Dengan memakan kurma, badan akan memulakan proses penghadaman, memberi tenaga untuk membantu mencerna makanan lain yang lebih kompleks ketika iftar,” jelas Hassan.

Kurma juga kaya dengan vitamin A dan B6, asid folik, potasium, sodium semulajadi, zat besi dan magnnesium.

“Ia seperti mengambil sumber multi-vitamin semulajadi,” katanya.