JOHOR BAHRU, 17 Jun:

Mantan Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Idris Sultan Iskandar mempertahankan kenyataannya bahawa, Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail tidak terlibat dalam pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abbas.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai hal itu berkata, komen ini merupakan yang terakhir dibuat.

“Sejak dua atau tiga hari lalu banyak yang berbicara tentang saya dalam platform media sosial.

“Sesungguhnya saya hanyalah seorang hamba Allah SWT dan bukan seorang yang sempurna. Namun begitu, saya juga belajar dari kesilapan masa lalu,” katanya.

Anak kelapan Sultan Iskandar itu turut memberitahu bahawa, komen dan pendapat tidak penting kerana beliau bertanggungjawab mempertahankan Allahyarham bapanya.

“Komen ini untuk mempertahankan Allahyarham ayahanda saya dan tidak bermotifkan politik atau menyokong mana-mana pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Tunku Abdul Majid mengakhiri postingnya dalam laman Facebook dengan status, “Allah Peliharakan Sultan” dan “Ini adalah komen terakhir saya mengenai perkara ini.”

Posting tersebut menerima lebih daripada 220 Likes.

Dua hari lalu, Tunku Abdul Majid memuat naik status mendakwa bahawa Allahyarham bapanya, Sultan Iskandar telah digunakan dalam pemecatan bekas Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.

Dakwa Tunku Abdul Majid, Dr. Mahathir telah menggunakan ayahnya (Sultan Iskandar) untuk memecat Mohamed Salleh daripada jawatannya.