JOHOR BAHRU, 16 Jun:

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal haram di wilayah selatan berhampiran perairan Pulau Pisang, Johor, petang semalam.

Kapal MT Zanoor tersebut menggunakan pendaftaran Mongolia didapati berlabuh secara haram kira-kira 4.5 batu nautika barat laut dari Pulau Pisang.

Dalam pada itu, APMM turut menahan sembilan anak kapal warga Indonesia berusia antara 19 hingga 57 tahun untuk siasatan.

Ketua Penguatkuasaan APMM Johor Bahru, Kapten Aminuddin Abdul Rashid berkata, bot peronda agensi KM Satria terserempak kapal tersebut kira-kira jam 12 malam semalam.

“Pasukan peronda APMM kemudian menaiki kapal tersebut dan mendapati bahawa anak-anak kapal kapal tidak mempunyai dokumen yang diperlukan Jabatan Laut Malaysia,” katanya hari ini.

Aminuddin berkata, kapal itu juga tidak mempunyai dokumen sokongan asal yang diperlukan untuk berlabuh.

“Dokumen-dokumen seperti Port Clearance, Cargo Manifest dan juga Senarai krew yang ada juga dipercayai palsu,” katanya sambil menambah bahawa menurut anak kapal terbabit mendakwa kapal itu rosak dan berlabuh di perairan Malaysia.

Aminuddin berkata, APMM akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 491B (1) (L) Merchant Shipping Ordinance (MSO) 1952 kerana berlabuh secara haram tanpa kebenaran.