KAJANG, 11 Jun:

Asisten Komisioner Willey Richard dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kajang yang baru bagi menggantikan jawatan yang dipegang Senior Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab sebelum ini.

Willey yang berasal dari Sarawak sebelum ini berkhidmat di bahagian komersil Bukit Aman dan mempunyai kelulusan dalam bidang Sarjana Pentadbiran Perniagaan.

Beliau menyertai Polis Diraja Malaysia sejak 1988.

Willey yang berusia 52 menggantikan tempat Ab Rashid yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan.

Majlis serah tugas tersebut diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang yang disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat.

Sementara itu, Ab Rashid ketika ditemui media berkata, indeks jenayah di Kajang sepanjang Januari hingga Mei lalu mencatatkan penurunan iaitu 1,540 kes berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2014 iaitu 2,245 kes.

Menurutnya, pengurangan kes itu sebanyak 705 mencatatkan penurunan 31.40 peratus.

“Indeks jenayah kekerasan turut mencatatkan penurunan dalam tempoh yang sama iaitu 124 kes berbanding 413 kes tahun lalu.

“Indeks jenayah harta benda mencatatkan penurunan iaitu 1,250 kes pada tahun ini berbanding 1,832 tahun lalu dalam tempoh yang sama,” katanya.