KUALA LUMPUR, 10 Jun:

Awal Ogos depan pihak pengurusan tertinggi 1Malaysia Development Malaysia Berhad (1MDB) perlu hadir memberi keterangan dalam prosiding siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap kedudukan kewangannya.

Pihak PAC akan menetapkan tarikh prosiding membabitkan Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan bekas Presiden syarikat itu, Datuk Shahrul Azral Ibrahim Halmi secara rasmi tidak lama lagi dan kedua-dua individu penting dalam proses siasatan itu perlu pastikan mereka dapat hadir, kata pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

“Ingin saya maklumkan bahawa PAC memutuskan untuk memanggil pengurusan tertinggi 1MDB pada minggu pertama awal bulan Ogos nanti.

“Kali ini tidak ada pengecualian. Mereka berdua kena datang,

“Kita akan maklumkan (tarikh) prosiding ini secara rasmi tidak lama lagi,” katanya dalam sidang media selepas selesai prosiding kes syarikat pelaburan strategik kerajaan itu di Parlimen, hari ini.

Pihak yang dipanggil memberi keterangan kali ini ialah firma audit antarabangsa, Deloitte, yang bertanggungjawap mengaudit akaun 1MDB bagi tahun kewangan 2013 dan 2014.

Untuk rekod, sebelum itu akaun 1MDB diaudit sebuah lagi firma audit luar negara iaitu KPMG, yang diberi tanggungjawab itu pada tahun kewangan 2010, 2011 dan 2012.

KPMG, kata Nur Jazlan, akan diminta hadir pada minggu depan.

“Kita jangka 17 Jun ini kita akan panggil (satu lagi) firma audit 1MDB, KPMG yang mengaudit akaun 1MDB pada 2011 dan 2012,” katanya sambil memaklumkan akaun 1MDB bagi tahun kewangan 2015 ini belum melalui proses audit.