KUNDASANG, 5 Jun:

Seorang pendaki tempatan, menggeletar apabila terlihat seorang mayat wanita ketika menuruni Gunung Kinabalu awal pagi tadi.

Pemandu arah, Dr Redzlan Abdul Rahman mendakwa dia melihat seorang wanita terbaring ketika dalam perjalanan turun, dan terus memeriksa  nadi wanita itu.

“Saya tidak jumpa nadinya. Saya percaya wanita itu warganegara Singapura,” dakwa doktor yang mempunyai klinik sendiri di Raub, Pahang.

Beliau merupakan ketua yang membawa sekumpulan pendaki dari Sekolah Menengah kebangsaan Tengku Kudin di Raub yang dalam ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu ketika kejadian.

Dr Redzlan mendakwa melihat dua lagi mayat ketika dalam perjalanan dari dari Sayat-Sayat, kira-kira 7 kilometer dari laluan masuk Timpohon.

Beliau juga percaya, mangsa mungkin terjatuh dan kepalanya terhantuk pada batu selepas gempa bumi 6.0 skala Richter menyebabkan batuan menjadi longgar dan memutuskan tali pautan di sepanjang Via Ferrata yang merupakan laluan atas menuju ke puncak gunung.

redzlan
Dr Redzlan mendakwa melihat wanita terbaring ketika dalam perjalanan turun dan apabila diperiksa, nadinya sudah tiada. – Foto TRP/Sandra Sokial

Dilaporkan seramai 189 pendaki berada di Gunung Kinabalu pagi ini dan hanya 52 sahaja berjaya turun.

Selebihnya dikatakan terperangkap di antara kilometer 7.5 menuju ke puncak gunung.

Usaha kini dilakukan untuk membawa turun pendaki. Kira-kira 100 penunjuk arah diarahkan ke beberapa lokasi di sepanjang laluan menuju ke  gunung.

Mereka hanya menunggu arahan daripada pihak polis dan Taman Sabah bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat.

bersedia kinabalu
Penunjuk arah bersedia untuk membantu pasukan keselamatan menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Gunung Kinabalu.

Dalam pada itu, menurut Redzlan keluarganya tidak berhenti menghubunginya bagi mengemaskini keselamatan dan untuk mengetahui perkembangan terbaharu mengenai kejadian itu.

“Terdapat 15 pendaki dari Raub dan 12 berjaya sampai ke puncak, termasuk tiga pelajar kelainan upaya bersama lapan guru pengiring.

“Ada di kalangan pendaki berhenti separuh jalan kemudian berpatah balik ketika kejadian gegaran itu berlaku. Saya dapat melihat struktur tanah bergegar dan ia sangat menakutkan,” katanya.

“Pada waktu itulah saya melihat tubuh manusia terbaring, lantas memeriksa denyutan nadi salah seorang daripada mereka,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Redzlan berkata, bimbang dengan gegaran susulan, semua orang mula mencari tempat perlindungan di bangunan kukuh.

“Saya juga mendengar beberapa bunyi letupan kecil dan melihat batuan terjatuh dari tebing tinggi,” katanya.

Redzlan yang tidak cedera menambah: “Ini kali pertama dan terakhir saya mendaki (Gunung Kinabalu).”

Dalam perkembangan lain, jurucakap Taman Sabah berkata maklumat yang diterima mengenai gegaran itu adalah disebabkan retakan batu yang jatuh di antara kilometer 7.5 sehingga lapan menyebabkan pendaki terperangkap di puncak gunung.

sar timpohan
Pasukan mencari dan menyelamat bersedia mendaki gunung dari pintu masuk Timpohon.