KUALA LUMPUR, 4 Jun:

Tanah mendap, keadaan jalan yang berlubang dan rosak adalah kesan pembandaran yang harus dibayar oleh manusia.

Bahagian-bahagian tanah mendap dan beralun di jalan raya sering kali disebabkan oleh saliran yang kurang baik, sistem paip bawah tanah atau kerja-kerja pembangunan yang berlaku di permukaan tanah.

Menurut Pakar Pengangkutan Awam, Prof. Dr Ahmad Rahim Md Nor, keadaan yang berlaku seperti itu adalah kesan urbanisasi pesat yang tidak dapat dielakkan.

“Tanah mendap yang berlaku biasanya dimulai dengan kerosakan jalan yang merekah dan berlubang, disebabkan kelemahan lapisan permukaan jalan berturap yang digunakan dalam tempoh yang lama.

“Lebuhraya Sultan Iskandar (Lebuhraya Mahameru) telah lama wujud dan ribuan kenderaan melalui jalan itu setiap hari… Sudah pasti sampai satu masa struktur jalan tidak dapat bertahan dan mendap,” katanya ketika dihubungi TheRakyatPost.

Jelasnya lagi, faktor turapan yang tidak sempurna, keadaan cuaca seperti hujan, ketiadaan sistem saliran yang baik dan beban aliran trafik secara berlebihan seperti kenderaan yang membawa lebih muatan adalah faktor membantu keadaan itu terjadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kejadian tanah mendap yang berlaku di Lebuhraya Sultan Iskandar dari arah Parlimen pada Selasa.

Keadaan itu menimbulkan kesulitan kepada pengguna jalan raya terutamanya yang ingin ke tempat kerja pagi Rabu kerana laluan itu ditutup sementara.

Menurut Prof. Abd Rahim, keadaan ini juga membahayakan nyawa pengguna jalan raya sekiranya ketika kejadian itu terjadi terdapat kenderaan yang melalui jalan itu.

“Apabila hujan, air mula bertakung menyebabkan lubang atas jalan bertambah besar sedikit demi sedikit dan akhirnya membahayakan pengguna jalan raya terutama mereka yang menggunakan kenderaan kecil seperti motosikal,” katanya.

Kajian yang dilakuakn oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), faktor kemalangan jalan raya bukan hanya tertumpu kepada faktor manusia, bahkan jalan raya dan kenderaan turut menyumbang.

Jalan berlubang, retak, mendap, beralun, penutup lubang yang terbenam atau di atas paras jalan, tampalan tidak sempurna dan berpasir sering menjadi faktor kemalangan jalan raya yang mungkin kurang diberi perhatian.

Mengulas mengenai penyelengaraan jalan raya di negara ini terutamanya di kawasan bandar, Prof Abd rahim berkata banyak jalan yang diturap dan dibaikpulih menjadi cepat rosak adalah disebabkan tiada inisiatif untuk menaiktaraf sistem pembaikan jalan di negara ini.

Jelasnya lagi, rata-rata jalan raya yang diturap hanya mampu bertahan setengah tahun sahaja dan ada yang kurang daripada itu.

“Di Lembah Klang termasuk di sekitar ibu negara masalah jalan berlubang bukan masalah terpencil, sebaliknya menjadi rungutan tidak berkesudahan pengguna jalan raya.

“Beberapa jalan di ibu negara seperti di Jalan Tun Razak, Jalan Pahang menuju Jalan Danau Kota, Jalan Hulu Kelang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Taman Desa dan sepanjang Jalan Ampang dan beberapa laluan lain sering berhadapan masalah jalan berlubang,” katanya.

Lebuhraya Sultan Iskandar dari arah Parlimen ditutup yang berpunca daripada mendapan tanah jalan mengakibatkan keadaan trafik sangat sesak awal pagi tadi.

Berikutan kejadian itu, jalan dari Sungai Besi ke Tun Razak, Tunku Abdul Halim ke Damansara, Damansara ke Semantan dan Lebuhraya ke susur Parlimen masih sesak dengan lalu lintas.

Semua kenderaan boleh menggunakan lencongan ke Wisma Tani menuju ke susur Parlimen sebagai alternatif bagi meneruskan perjalanan ke destinasi.