KUALA LUMPUR, 3 Jun:

Lalu lintas jalan di Lebuhraya Sultan Iskandar dari arah Parlimen ditutup yang berpunca daripada mendapan tanah jalan mengakibatkan keadaan trafik sangat sesak dan teruk.

Berikutan kejadian itu, jalan dari Sungai Besi ke Tun Razak, Tunku Abdul Halim ke Damansara, Damansara ke Semantan dan Lebuhraya ke susur Parlimen masih sesak dengan lalu lintas.

Menurut jurucakap ITIS DBKL, mendapan jalan di kawasan terbabit berlaku pada jam 3.30 pagi semalam dan menyebabkan kesesakan lalu lintas sehingga ke hari ini.

“Kejadian mendapan itu adalah kerana kerja menaik taraf terowong Jalan Duta yang sedang beroperasi dan juga keadaan yang basah akibat hujan.

“Keadaan lalu lintas masih lagi berlaku sehingga sekarang dan kesemua jalan yang terlibat masih bergerak perlahan namun tiada sebarang kemalangan dilaporkan,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post pagi ini.

Semua kenderaan boleh menggunakan lencongan ke Wisma Tani menuju ke susur Parlimen sebagai alternatif bagi meneruskan perjalanan ke destinasi.