KUALA LUMPUR, 3 Jun:

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menafikan bahawa kejadian tanah mendap yang berlaku di Lebuhraya Sultan Iskandar (Lebuhraya Mahameru) adalah disebabkan projek MRT yang dijalankan di kawasan itu.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan MRT Corp hari ini, melalui siasatan yang dilakukan mendapati kejadian itu bukan disebabkan projek pembinaan terowong MRT laluan Sungai Buloh-Kajang.

Sebelum ini, media melaporkan projek MRT adalah punca tanah mendap berlaku di Lebuhraya Mahameru itu sehingga menyebabkan kesesakan yang teruk pagi ini.

Menurut MRT Corp, pihaknya tidak wajar disalahkan kerana punca tanah mendap boleh disebabkan faktor hujan dan aliran air bawah tanah serta projek pembinaan yang lain di sekitar lokasi berhampiran.

Lebuhraya Sultan Iskandar dari arah Parlimen ditutup yang berpunca daripada mendapan tanah jalan mengakibatkan keadaan trafik sangat sesak awal pagi tadi.

Berikutan kejadian itu, jalan dari Sungai Besi ke Tun Razak, Tunku Abdul Halim ke Damansara, Damansara ke Semantan dan Lebuhraya ke susur Parlimen mengalami kesesakan sehingga beberapa kilometer dari lokasi tanah mendap.

Pengguna jalan raya dinasihatkan boleh menggunakan lencongan ke Wisma Tani menuju ke susur Parlimen sebagai alternatif.