DALAM Islam, kemunculan ekstremis agama bermula apabila berlakunya fitnah yang berlarutan sehingga menyebabkan kematian Khalifah ketiga umat Islam iaitu Saidina Uthman Ibn Affan r.a. – dan pemangkin ke arah tragedi tersebut adalah percampuran api fitnah politik dengan pelampau agama.

Sekalipun Khalifah Uthman cuba sedaya upaya menyangkal kebanyakan daripada fitnah itu serta dakwaan kesilapan yang dilakukan dalam pemerintahannya, namun puak pelampau terus berusaha memarakkan lagi api fitnah untuk menghukum Khalifah hingga tergamak menghasut umat Islam supaya membunuhnya.

Saidina Ali bin Abi Talib yang menggantikan tempat Uthman kemudiannya menyebut peristiwa itu sebagai fitnah dan huru-hara besar, manakala orang ramai yang terlibat di dalam kancah rusuhan itu di kenali sebagai ‘al-ghaugha’.

Al-ghaugha adalah satu gerakan massa yang melampau dan tidak diketahui siapa pemimpinnya dan pesertanya berkumpul kerana disatukan oleh rasa kemarahan yang sama. Biasanya sasaran kemarahan itu ialah “kuasa yang diwujudkan”.

Namun setelah ia berhasil melaksanakan apa yang diinginkan, ia kemudiannya perlahan-lahan menghilang dan kembali semula ke tempat masing-masing menampilkan keperibadian seorang insan yang normal.

Kemungkinan juga di dalam al-ghaugha itu wujud pakatan jahat yang diterajui oleh kekuatan yang tidak diketahui dengan tujuan untuk menghancurkan Islam atau tidak mustahil juga mereka mungkin didalangi oleh golongan munafik moden.

Mengenai perwatakan al-ghaugha ini, Saidina Ali r.a ada menjelaskannya secara puitis:

“Mereka adalah kelompok orang yang apabila berkumpul sangat membahayakan, dan apabila berpisah, mereka sangat menguntungkan.”

Orang ramai bertanya, “Kami mengerti akan bahaya kumpulan mereka, tetapi apa manfaat perpisahan mereka?”

Saidina Ali menjelaskan, “Orang yang bekerja kembali kepada pekerjaan asalnya sehingga memberikan manfaat kepada masyarakat, iaitu tukang bangunan ke tempat bangunan, tukang tenun ke pertenunan dan tukang roti ke dapur membuat roti.”

Jadi, al-ghaugha ini adalah kumpulan manusia biasa, iaitu perkumpulan orang ramai yang normal tetapi wujud ‘kekuatan luar biasa’ yang telah mengumpulkan mereka dan menjadikan mereka ganas.

Sebelum menjadi al-ghaugha, mereka adalah anggota yang memberikan sumbangan masing-masing kepada masyarakat.

Namun setelah menjadi peserta al-ghaugha, mereka kehilangan arah, tunduk kepada kemahuan massa dan seakan-akan dirasuk.

Al-ghaugha sebenarnya bukan satu kumpulan manusia yang jahat, sebaliknya ia lahir dan bertindak akibat dari "sesuatu" yang jahat yang jadikan mereka tidak berpuas hati. - Foto arkib TRP/Siti Syahirah
Al-ghaugha sebenarnya bukan satu kumpulan manusia yang jahat, sebaliknya ia lahir dan bertindak akibat dari “sesuatu” yang jahat yang jadikan mereka tidak berpuas hati. – Foto arkib TRP/Siti Syahirah

Mereka menjadi tidak sedar bahawa sikap ketika menjadi peserta al-ghaugha menjatuhkan martabat mereka sebagai manusia dan secara tidak langsung telah menurun beberapa anak tangga dari segi kedudukan dalam “ranking” peradaban.

Khalifah Al-Ma’mun apabila mengulas mengenai al-ghaugha ini berkata:

“Setiap kejahatan dan kezaliman di dunia ini berasal dari al-ghaugha. Merekalah pembunuh para Nabi bahkan sesiapa sahaja yang dianggap musuh. Mereka memecahbelahkan para ulama dan merosakkan orang-orang yang saling bercinta. Di kalangan mereka ada pencuri, perompak, dan orang sombong yang membawa fitnah kepada pemerintah.”

Khalifah Al-Ma’mun yang tersohor itu mungkin agak keterlaluan dalam mendefinisikan al-ghaugha kerana situasi pemerintahannya yang agak keras, khususnya dalam menghadapi musuh-musuh politiknya.

Al-ghaugha sebenarnya bukanlah satu kumpulan manusia yang jahat, sebaliknya ia lahir dan bertindak akibat dari “sesuatu” yang jahat yang menjadikan mereka tidak berpuas hati.

Mereka bertindak atas tujuan dan niat yang sama yang akhirnya menimbulkan satu suasana yang boleh memecahbelahkan sesiapa sahaja, pemerintah mahupun individu tertentu.

Sesiapa sahaja mungkin akan bertindak sedemikian rupa sekiranya berhadapan dengan apa yang dihadapi oleh al-ghaugha.

Sesuatu” yang menjadi punca lahirnya al-ghaugha itu antaranya mungkin perasaan tidak berdaya seseorang individu ketika berhadapan dengan sistem yang menindasnya.

Kadangkala fenomena al-ghaugha ini termasuk juga yang dicetuskan golongan atasan yang mempunyai kepentingan atau agenda politik tertentu, lantas menciptakan isu bagi mewujudkan al-ghaugha untuk menangguk di air keruh, namun mengambil sikap melempar batu sembunyi tangan.

Justeru, Saidina Ali r.a menjelaskan segala sebab yang mengakibatkan tercetusnya rusuhan sosial adalah al-ghaugha yang disebut baginda sebagai fitnah dan dianjurkan agar kita berhati-hati dengannya.

Dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 25 yang bermaksud:

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.

Antara fitnah yang mewujudkan al-ghaugha yang disebut dalam sejarah Islam ialah yang diketuai oleh Abdullah bin Saba’ hingga mengakibatkan perang antara Aishah dengan Ali, tercetus Perang Siffin antara Muawiyah dan Ali, lahirnya gerakan Khawarij serta tumbangnya Bani Umayah oleh kekuatan Bani Abbasiyah.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan (ingatkah bahawa angkara) fitnah iaitu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.” (Surah al-Baqarah:ayat 191)

Dalam apa jua tindakan, janganlah kita jadi seumpama al-ghaugha kerana akibat dan kemudaratannya boleh menghancurkan sebuah peradaban.

Segala sesuatu perkara yang menimbulkan ketidakpuasan hati haruslah diselidiki dengan tenang kerana ketenangan itu adalah dari Allah SWT manakala gopoh-gapah itu adalah dari syaitan yang durjana (maksud hadis).

Apa jua berita yang diterima seharusnya lebih dahulu diperiksa kesahihan fakta-faktanya kerana mungkin ia hanya bersifat provokasi atau fitnah.

Penulis adalah Setiausaha Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).