KUALA LUMPUR, 25 Mei:

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau memandang berat terhadap penemuan kubur besar yang terletak di kawasan Malaysia dekat sempadan Thailand yang dikaitkan dengan aktiviti pemerdagangan manusia.

“Kami akan menjejaki mereka yang bertanggungjawab,” kata beliau menerusi catatan dalam laman Twitter.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad mengesahkan mengenai penemuan kubur-kubur besar berdekatan 17 khemah yang dipercayai digunakan untuk menempatkan pelarian di Padang Besar, Perlis.

Dalam pada itu, anggota pasukan komando VAT 69 dan Pasukan Gerakan Am (PGA) menemui 30 kubur besar pendatang asing dan rangka manusia dalam satu operasi khas di Padang Besar dan Wang Kelian.

Dalam laporan khas Mingguan Malaysia, 30 buah kubur besar ditemui di sepanjang kawasan hutan tebal dan berbukit dekat dengan kawasan sempadan Thailand, baru-baru ini.

Turut ditemui adalah kesan-kesan penempatan pendatang asing yang dipercayai warga Bangladesh dan etnik Rohingya yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Sumber memberitahu akhbar berkenaan, pasukan polis turut menahan sejumlah warga tempatan yang terdiri daripada orang kampung dan warga asing yang terlibat membawa masuk pendatang asing berkenaan.

Mereka yang terlibat dikatakan terdiri daripada penduduk kampung dan peniaga di kawasan Wang Kelian yang terdesak mencari sumber pendapatan ekoran penurunan mendadak ke kawasan tersebut sejak penguatkuasaan pasport untuk memasuki sempadan dilakukan.

“Kumpulan pendatang dipercayai bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain. Setakat ini, operasi masih diteruskan dan kami yakin akan menemukan lebih banyak kawsan kubur dan bukti- bukti penempatan yang lain,” katanya sumber itu.

Pada 18 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata seramai 300 anggota pasukan elit komando VAT 69 dihantar ke Kedah dan Perlis untuk melakukan pemantauan mereka.

Katanya, tujuan penghantaran VAT 69 adalah bagi mengesan sebarang pergerakan kerana kawasan di sempadan seperti Wang Kelian itu dipenuhi hutan dan berbukit serta kemungkinan memudahkan persembunyian mana-mana pihak.

Sebelum ini, di negara jiran dikejutkan dengan penemuan dua kubur besar dan kem etnik Rohingya yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia oleh sindiket tertentu.

Lebih 30 buah kubur besar yang dipercayai milik pendatang dari Myanmar dan Bangladesh ditemui di selatan Thailand pada awal bulan ini, di kawasan laluan sindiket pemerdagangan manusia.

Kubur yang terletak di daerah Sadao, wilayah Songkhla itu dijumpai di sebuah kem lama yang sering digunakan dalam proses pemindahan manusia dari Thailand ke Malaysia.

Ketua Polis Thailand, Leftenan Jeneral Jaktip Chaijinda juga berkata, pihaknya telah menahan 30 suspek sejak dua minggu lalu, kerana disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan manusia.

Beliau berkata, pihaknya masih memburu 35 suspek.