WANGSA MAJU, 21 Mei:

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yakin Skuad Muda 1JPJ dapat membantu mengurangkan indeks kemalangan maut dalam tempoh lima tahun.

Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, semua agensi penguatkuasaan dalam negara ini mensasarkan penurunan 0.6 peratus daripada kini iaitu 2.66 indeks kemalangan maut.

Menurutnya, sasaran itu akan dicapai dalam tempoh lima tahun dan beliau percaya dengan kemampuan Skuad Muda dalam membantu merealisasikan matlamat itu.

“Saya yakin dengan penubuhan skuad ini dapat membantu mencapai sasaran kita dengan keahlian kini mencapai 170,000 ahli seluruh negara.

“Skuad ini berperanan mewujudkan kesedaran terhadap keselamatan jalan raya, memupuk semangat sukarelawan, perpaduan dan patriotik,” katanya kepada media selepas menyampaikan Watikah Perlantikan Jawatankuasa Skuad Muda 1JPJ Wilayah Persekutuan, di Wangsa Maju di sini.

Beliau turut menyampaikan watikah perlantikan Ikon Skuad Muda 1JPJ kepada selebriti tempatan, Shaheizy Sam dan pelawak, Nabil Ahmad.

Ismail berkata, pelbagai pendekatan yang digunakan untuk memberi pendidikan dan kesedaran kepada pengguna mengenai keselamatan raya.

Beliau menegaskan penubuhan skuad ini dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk terlibat sama dalam keselamatan jalan raya.

“Kita memperkenalkan kurikulum baru dalam pengambilan lesen memandu dan itu adalah pendekatan kita yang baru.

“Langkah kejuruteraan juga turut ditambah baik dengan menguatkuasaan kenderaan yang masuk ke negara ini dan perlu mematuhi standard antarabangsa yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, hanya kenderaan yang selamat dan mematuhi standard itu dibenarkan masuk dalam negara ini.

Ismail turut mensasarkan ahli Skuad Muda mencecah 300,000 orang ahli sehingga hujung tahun ini.