JOHOR BAHRU, 21 Mei:

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, negeri itu akan mendapat manfaat daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan yang akan merealisasikan pertumbuhan ekonomi sehingga 2020.

“Terdapat banyak sektor pertumbuhan ekonomi yang diberikan fokus, terutamanya melibatkan Johor.

“Ini akan membantu negeri ini menjadi hab ekonomi yang membangun selain Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan berikutan pengumuman Rancangan Malaysia Ke-11 hari ini.

Khaled berkata, aspek yang berkaitan dengan kebajikan rakyat seperti rumah mampu milik, kemudahan penjagaan kesihatan, sekolah, laluan kereta api Gemas-Johor Baru dan projek kereta api kelajuan tinggi Kuala Lumpur-Jurong akan membawa kesan positif secara langsung terhadap pembangunan negeri.

“Sama seperti projek Pengerang 2 sebagai tambahan kepada terminal yang sama di Melaka yang dijangka mengubah industri minyak dan gas di negara ini,” katanya.

Khaled berkata, tumpuan kerajaan dalam peruntukan bagi modal insan berkemahiran juga akan menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang pesat.