KUALA LUMPUR, 20 Mei: 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya mempunyai empat orang penasihat rasmi dan kesemua mereka dimaklumkan menerima gaji berdasarkan kepakaran masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata demikian di dalam jawapan bertulis kepada soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen (PAS) Sepang, Mohamed Hanipa Maidin yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah penasihat rasmi dan juga jumlah gaji yang diterima mereka.

“Keempat-empat mereka ialah; Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, Datuk Wira Mohd Johari Baharum, Tan Sri Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dan juga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Kerajaan hanya membayar gaji dan elaun mengikut kelayakan masing-masing berdasarkan kepakaran yang diberikan,” kata Shahidan memetik jawapan bertulis kepada soalan yang diajukan pada Selasa.

Dalam pada itu, kerajaan juga menjelaskan tidak memberikan sebarang bayaran gaji kepada anggota Pasukan Komunikasi Kebangsaan Pejabat Perdana Menteri, Paul Stadlen setakat April 2014.

Tun Dr Mahathir Mohamad pada April lalu melalui tulisan di blognya memperhebatkan kritikan terhadap pentadbiran Najib yang menurut beliau merendahkan semangat penjawat awam dan membawa semula ‘pegawai British’ membantunya mentadbir negara.

Menurutnya, tindakan itu berserta pelantikan perunding asing dan pasukan penasihatnya sendiri yang memakan belanja lebih RM7 bilion, menyisihkan peranan penjawat awam yang memacu pentadbiran negara sekali gus melemahkan sokongan mereka kepada kerajaan.

Malah beliau turut mendakwa Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tidak percaya dengan kebolehan orang Malaysia untuk membangunkan negara ini.