LANGKAWI, 19 Mei:

Penduduk di Kampung Bukit Malut pada asalnya didiami oleh penduduk Melayu Islam Kedah (MIK) dan bukannya semua dari etnik Rohingya.

Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad berkata, MIK merupakan rakyat asal Kedah yang dibawa oleh Kerajaan Jepun untuk pembinaan jambatan Sungai Kwai di Myanmar.

Menurutnya, mereka dibawa dan tinggal di hujung atau selatan Myanmar di sebelah sempadan Thailand yang mana anak cucu mereka akhirnya tinggal di sana.

Jelasnya, mereka juga dihalau dan dibunuh beberapa puluh tahun lalu dan tidak diberi kerakyatan oleh kerajaan Myanmar.

“Oleh itu sebahagian daripada mereka diselamatkan oleh kerajaan atas dasar perikemanusiaan beberapa puluh tahun lalu dan ketika itu saya masih berada di sekolah rendah.

“Jadi mereka yang tinggal disitu adalah berbeza dengan etnik Rohingya yang mendarat di Langkawi baru-baru ini,” katanya kepada The Rakyat Post, hari ini.

Nawawi berkata, sebahagian MIK adalah rakyat Malaysia sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 1957 dan atas dasar itu mungkin kerajaan membenarkan mereka tinggal di Langkawi pada ketika itu.

Ujarnya, mengikut Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 19, mereka ini dikatakan boleh diberikan kad pengenalan Malaysia melalui proses naturalisasi.

“Hanya sebahagian mereka yang diberi dan mengikut kursus beberapa bulan di kem khas ada diberikan kerakyatan dan kad pengenalan Malaysia.

“Jumlah tersebut tidak banyak iaitu contohnya dari 120,000 rakyat Langkawi, hanya 37,700 daripadanya merupakan pengundi dan daripada jumlah itu 800 daripadanya MIK yang diberikan kerakyatan satu ketika dahulu,” katanya.

Namun begitu, Nawawi menegaskan kini terdapat 5,000 orang kaum keluarga MIK dan juga mungkin sekelompok etnik Rohingya yang tinggal di Bukit Malut.

Katanya, kesemua mereka ini tidak mempunyai dokumen yang sah yang mana ia mendatangkan masalah kepada penduduk tempatan di sini.

Jelasnya, mereka ini mungkin menyelinap masuk ke Langkawi pada waktu malam dengan bantuan saudara-mara mereka di sini dan apabila pihak berkuasa masuk ke kampung berkenaan mereka enggan bekerjasama sekaligus sukar untuk membuat tangkapan.

“Jadi cukuplah Langkawi mempunyai pengalaman dengan MIK dan kami tidak mahu ia ditambah dengan masalah kedatangan etnik Rohingya di pulau pelancongan ini.

“Kerajaan diharapkan supaya membantu menyelesaikan masalah MIK ini dan dirayu supaya tidak menjadikan Langkawi sebagai tempat penempatan Rohingya kerana ia akan menjejaskan kehidupan penduduk tempatan.

“Reputasi Langkawi sebagai pulau pelancongan ke-10 dunia juga perlu dipelihara kerana penempatan mangsa sindiket pemerdagangan manusia ini hanya menjejaskan permandangan dan persekitaran di sini,” tegasnya.