KUALA LUMPUR, 18 Mei:

Merokok di tempat awam diumpamakan sebagai membenarkan sesiapa sahaja membuang air kecil di dalam kolam renang, kata bekas Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha’ani Abdullah.

Beliau yang juga wakil FOMCA sebagai Bendahari di dalam Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) berkata bahawa pihaknya menyokong usaha kerajaan untuk mewujdukan larangan merokok di tempat awam iaitu di restoran atau kedai-kedai makan.

Menurut beliau, cadangan itu seiring dengan hasrat kerajaan untuk mengawal penggunaan tembakau di kalangan rakyat Malaysia.

“Kami menyokong 100 peratus dan bersetuju dengan cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu untuk memperluaskan langkah-langkah kawalan tembakau.

“Kita tidak ada alasan untuk membenarkan perokok merokok di tempat awam, mereka (perokok) seharusnya lebih bertanggungjawab dan mereka juga tiada hak untuk merokok merata-rata.

“Mereka sebenarnya mengganggu orang awam dengan merokok di kawasan awam ini, jadi kita tidak boleh terima bila ada pihak yang kata perokok ada hak untuk merokok di kawasan awam,” katanya kepada The Rakyat Post hari ini.

Sebelum ini, KKM telah mengeluarkan cadangan mengenai peraturan larangan merokok melibatkan kedai makan dan restoran termasuk gerai mamak, kopitiam dan juga medan selera.

Larangan itu juga akan turut mewartakan taman negara dan taman awam sebagai zon larangan merokok.

Susulan daripada cadangan itu, KKM telah menganjurkan satu maklum balas yang membenarkan orang ramai memberikan padangan mereka mengenai perkara berkenaan.

Hari ini merupakan hari terakhir bagi orang awam memberikan pandangan berhubung cadangan tersebut.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Noorul Hassan Saul Hamed menyatakan pendirian untuk tidak bersetuju dengan cadangan terbabit.

Menurut beliau, kerajaan harus menjalankan langkah-langkah yang lebih asas bagi membendung masalah penggunaan tembakau di kalangan rakyat berbanding mewujudkan zon larangan merokok.

“Kami tidak bersetuju, sebab melalui perbincangan, kawasan larangan merokok melibatkan kawasan tertentu dan bukan sepenuhnya.

“Apa yang kami harapkan ialah KKM buat perkara asas dahulu (untuk kawal perokok). Sekarang ini kita lihat perokok di kalangan remaja pun meningkat, shisha juga tiada kawalan dan semakin ramai orang mula menggunakan rokok elektronik.

“Kalau yang gejala baru ini pun kita tidak boleh kawal, macam mana kita nak bendung benda lama ini (merokok),” katanya kepada The Rakyat Post ketika diajukan berkenaan cadangan berkenaan.

Noorul Hassan juga berkata bahawa larangan ini secara langsungnya akan menjejaskan perniagaan mereka.

“Ini akan mengganggu perniagaan kami, sebab ramai yang datang ke kedai hanya untuk minum dan juga merokok, hanya santai-santai,” tambah beliau.

Bagaimanapun, beliau tetap menyokong hasrat kerajaan untuk mewujudkan suasana dan juga rakyat yang lebih sihat.

Namun, dari segi pelaksanaan cadangan tersebut, beliau mengharapkan kerajaan melalui KKM mempunyai perancangan yang lebih terperinci dan juga konkrit bagi mencapai hasrat tersebut.