JOHOR BAHRU, 15 Mei:

Seramai 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyeludup keluar dari negara ini, ditahan Pasukan Polis Marin Wilayah Dua dalam dua operasi berasingan di Kota Tinggi, awal pagi tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 12.15 pagi itu, seramai 17 lelaki dan tiga wanita ditahan di Pantai Mados, Kota Tinggi, ketika cuba keluar dari negara ini dengan menaiki bot laju.

Susulan serbuan itu, polis turut menahan 20 lelaki dan tiga wanita di Tanjung Kelisa, Bandar Penawar, yang dipercayai sedang menunggu sebuah bot pancung untuk membawa mereka ke Indonesia melalui laluan tikus, kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Semua PATI berusia 17 hingga 50 tahun itu melanggar peraturan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, semua PATI yang ditahan itu telah dihantar ke Bandar Penawar untuk siasatan lanjut.

“Mereka ditahan ketika menunggu bot pancung untuk cuba keluar dari Malaysia, melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Siasatan akan dibuat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007,” katanya.

Difahamkan, dua lokasi, iaitu Pantai Mados dan Tanjung Kelisa sering menjadi tumpuan PATI, terutamanya warga Indonesia untuk masuk ke negara ini.

Tekong dikatakan akan menunggu sehingga lewat malam, untuk menyeludup PATI menggunakan bot pancung.

Perjalanan yang memakan masa dua hingga tiga jam itu, terdedah kepada bahaya dilanggar kapal laut, kerana keadaan kawasan persekitaran yang gelap.

Khiu berkata, pihak berkuasa akan terus membuat pemantauan bagi mengawal kemasukan PATI ke negara ini.