KOTA BHARU, 6 Mei:

Seorang penjenayah paling dikehendaki di negeri ini, Nor Tarmimi Md Salleh, 32, atau lebih dikenali sebagai Buyong akhirnya ditangkap polis di Kampung Dusun Raja dekat Jalan Bayan, di sini, malam tadi.

Nor Tarmimi dipercayai sebagai ketua kumpulan Geng Buyong yang sebelum ini terbabit dalam beberapa kejadian jenayah menggunakan senjata api.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek ditahan kira kira jam 2.30 petang kelmarin oleh sepasukan enam anggota Unit D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Beliau berkata suspek ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Katanya suspek yang berasal dari Kampung Lancar, Slow Machang, Pasir Mas sudah diberitahu mengenai sebabnya ditahan dan mengaku faham mengenai penahanannya.

“Polis berjaya mendapatkan perintah reman selama 21 hari ke atas suspek sehingga 20 Mei depan daripada Mahkamah Majistret Kota Bharu.

“Setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan,” katanya.

Difahamkan, beberapa tahun sebelum ini empat anggota Geng Buyong pernah ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis termasuk dua kejadian di Kota Bharu dan di Ampang, Kuala Lumpur.