PERMATANG PAUH, 3 Mei:

Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan penganalisis politik pro pembangkang, Wan Saiful Wan Jan.

Beliau menolak kenyataan Saiful yang mengatakan referendum cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak seharusnya menjadi modal kempen PKR di Permatang Pauh.

Menurut Wan Azizah, rakyat di kawasan itu mempunyai hak untuk mengetahu berkenaan cukai berkenaan yang dianggap menjadi beban kepada rakyat bukan sahaja di Permatang Pauh, malah di seluruh negara.

“GST juga kena pada kami di Permatang Pauh. Kenapa GST tidak boleh menjadi referendum untuk rakyat di Permatang Pauh? Kenapa di Rompin sahaja.

“Apakah kita dianak tirikan? Saya tidak terima itu,” tegasnya di dalam satu sidang media yang diadakan di Wat Siam di Tanah Liat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kenyataan Saiful yang juga merupakan Ketua Eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) baru-baru ini.

Saiful dilaporkan mengkritik kempen PKR yang mahu menjadikan PRK Permatang Pauh sebagai satu referendum bagi menolak Cukai Barang dan Perkidmatan (GST) yang diperkenalkan kerajaan pada 1 April lalu.

“Sepatutnya isu referendum tidak dimainkan di Permatang Pauh kerana itu adalah kerusi yang selamat untuk PKR sebenarnya. Kalau kalah baru menjadi berita. Jika menang bukan berita. Jika mahu dijadikan isu maka ia sepatutnya digunakan di Rompin yang sebelum ini menyokong BN. Referendum perlu diuji di situ.

“Isu referendum terhadap GST dan 1MBD ini dimainkan di tempat yang salah. Sepatutnya Permatang Pauh memerlukan referendum sama ada pengundi PR mahu mengekalkan legasi dinasti Anwar sebagai ketua mereka atau mereka mahu mewar-warkan sistem politik yang baharu untuk ditawarkan kepada rakyat,” kritiknya yang mencadangkan pengundi PR mengundi BN sebagai tanda ‘undi protes’ jika tidak bersetuju dengan legasi Anwar di situ sejak 33 tahun lalu.

Saiful merupakan seorang individu yang sebelum ini berkecenderungan kepada pakatan pembangkang dengan banyak mengkritik dasar-dasar dan tindakan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional.

Bagaimanapun, bila ketikanya tiba PRK di Permatang Pauh, Saiful dilihat mempamerkan rasa kurang senang dengan keputusan PKR khususnya melibatkan peletakan Wan Azizah sebagai calon di Permatang Pauh.

Malah beliau berpandangan PKR memerlukan ‘pelajaran’ kali ini untuk lebih peka dan bersiap siaga menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 akan datang.