ROMPIN, 1 Mei :

Ahli Parlimen PAS Temerloh, Nasrudin Hassan mendakwa telefon bimbitnya digodam oleh musuh politiknya yang dilihat cuba untuk merosakkan reputasinya sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.

Menurutnya, selepas solat Jumaat hari ini, beliau dihujani khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbaur tohmahan kepadanya.

“Saya digelar penipu tanpa saya mengetahui hujung pangkal perkara tersebut. Sehinggalah seorang kawan menghantar satu SMS yang dihantar kepada beliau menggunakan nombor peribadi saya.

“Saya kesal perkara ini berlaku. Entah siapa yang tidak bertanggungjawab menggunakan nombor telefon saya untuk tujuan menipu dan mengelirukan orang ramai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nasrudin berkata, tindakan itu merupakan satu tindakan yang tidak wajar dan mengganggu privasinya malah mencemarkan nama beliau dengan SMS bohong seperti itu.

“Saya bimbang jika perkara ini tidak dihentikan maka mungkin selepas ini penggodam terbabit akan mengeluarkan SMS-SMS bohong dan fitnah yang lain pula.

“Saya percaya ini juga satu daripada tindakan pihak tertentu yang mahu merosakkan reputasi saya dan mencemarkan maruah saya sehingga kelak digelar pembohong dan pendusta oleh penerima SMS yang tidak mengetahui perkara sebenar. Sedangkan, saya tidak pernah menghantar SMS sedemikian kepada sesiapa,” katanya.

SMS bohong yang digodam menggunakan nombor telefon Nasrudin itu tertera ayat, “Salam Muslimin dan Muslimah. Diminta untuk mengambil elaun makan di Bangunan Pas Pusat setelah selesai solat Jumaat #kitalawan #mayday #batal GST.”