KUALA LUMPUR, 26 April:

Ketua Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan menggesa penyokong-penyokong Pakatan Rakyat menolak calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam Pilihan Raya Kesil (PRK) Permatang Pauh.

Jelasnya, pengundi memerlukan ahli Parlimen sebenar yang dapat memberi khidmat kepada mereka dan bukannya seseorang yang diperlakukan seperti boneka meskipun berkemungkinan dilantik sebagai Ketua Pembangkang sekiranya menang.

“Jika anda menyokong Pakatan, maka kali ini (sahaja) undi UMNO. Pengundi perlu MP (ahli Parlimen) sebenar.

“Bukan puppet (boneka) yang sekejap bertanding sekejap letak jawatan. Kalau jadi ketua pembangkang puppet juga,” katanya di laman Facebook.

PRK Parlimen Permatang Pauh bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru pada 7 Mei ini apabila Wan Azizah akan dicabar calon UMNO, Suhaimi Sabudin dan dua calon lain, iaitu Azman Shah Othman, dari Parti Rakyat Malaysia dan calon Bebas, Salleh Ishak.

Menurut Wan Jan, cadangannya supaya penyokong Pakatan mengundi UMNO dalam PRK ini bagi memberi kesedaran kepada parti itu supaya tidak terbelenggu dalam politik dinasti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kemenangan UMNO di Permatang Pauh akan mengajar PKR agar keluar dari belenggu dinasti, tanpa mengubah lanskap di Parlimen.

“Begitu juga di Rompin. Perlu dimenangkan UMNO dengan majoriti yang lebih besar untuk menunjukkan penolakkan terhadap (Presiden PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kem konservatifnya.

“Ini juga tidak akan mengubah lanskap di Parlimen. Ajar mereka sekarang agar mereka ‘buckle up’ sebelum PRU14,” ujarnya.

Anwar memenangi kerusi di Parlimen Permatang Pauh sejak 1982 di bawah tiket Barisan Nasional sebelum digugurkan pada 1998 dan digantikan isterinya, Wan Azizah.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru pada 7 Mei ini.