KUALA LUMPUR, 22 April:

Seorang wanita dipercayai warga Vietnam ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditikam dengan senjata tajam di rumah sewanya kira-kira jam 10.15 pagi Selasa di Seri Kembangan, Selangor.

Mayat wanita berkenaan ditemui oleh seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah rumah kedai di Jalan SP 5/2, Serdang Perdana, yang kemudiannya bertindak membuat laporan polis di Balai Seri Kembangan.

Difahamkan wanita Vietnam itu bekerja di sebuah pusat hiburan (pub) di kawasan berkenaan, dan mayatnya ditemui terbaring di atas lantai berlumuran darah oleh lelaki Bangladesh terbabit ketika berkunjung ke rumah mangsa pagi semalam.

Siasatan awal mendapati warga Bangladesh itu dipercayai teman lelaki mangsa, dan pihak polis bertindak menahan reman lelaki terbabit bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

“Polis turut menemui kesan darah di bilik tidur mangsa dan juga di dalam tandas rumah sewanya, sekaligus menunjukkan kemungkinan mangsa bertindak melawan dan berlaku pergelutan,” menurut sumber dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Lelaki Bangladesh terbabit bagaimanapun setakat ini bukan dikategorikan sebagai suspek utama tetapi ditahan bagi membantu siasatan, kata sumber itu lagi.

“Pihak polis turut menggunakan khidmat anjing pengesan dari Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu menjejaki suspek dan anjing berkenaan tidak pun merapati lelaki itu yang turut berada di tempat kejadian,” jelasnya.

Setakat ini pihak polis masih menyiasat motif pembunuhan mangsa.

Usaha The Rakyat Post untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kejadian daripada Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razimi Ahmad bagaimanapun tidak berhasil kerana usaha menghubungi telefon bimbit beliau, termasuk menghantar mesej pesanan ringkas tidak dijawap.