KUALA LUMPUR, 22 April: 

Sambutan Hari Bumi 2015 dijangkakan menjadi tahun sambutan yang paling menarik dalam sejarah alam sekitar susulan cabaran perubahan iklim dunia.

Walaupun usia sebenar bumi dianggarkan sudah mencecah lebih berjuta tahun, namun ulang tahun Hari Bumi baru disambut untuk kali yang ke 45.

Hari Bumi ini mula disambut sejak 45 tahun lalu bertujuan untuk menyedarkan penduduk planet ini berkenaan betapa pentingnya untuk menjaga dan memulihara dengan lebih serius.

Tahun ini, Hari Bumi disambut dengan tema ‘It’s Our Turn To Lead’ yang mana memberi cabaran besar berhubung perubahan iklim yang dialami di peringkat global.

Fenomena perubahan iklim ini adalah fenomena sejagat yang mana perlu difahami sedang berlaku dan ianya memerlukan komitmen semua bagi tujuan memulihara keadaan bumi.

Perubahan iklim dunia kan memberikan impak yang besar terhadap kehidupan manusia yang mana punca kepada berlakunya perubahan tersebut bukanlah secara alami sahja malah turut terjejas ekoran perbuatan manusia.

Oleh yang demikian, sambutan Hari Bumi 2015 kali ini diharap dapat memupuk kesedaran kepada semua rakyat dalam memastikan bumi kekal selamat untuk didiami oleh manusia.

Susulan itu, semua diseru untuk mengamalkan gaya hidup cara mesra alam dengan mengurangkan pelepasan gas-gas rumah hijau secara signifikan.

Banyak cara yang perlu diketahui ramai bagi mengamalkan gaya hidup mesra alam termasuk mengelakkan pembakaran terbuka, mengurangkan penggunaan kenderaan yang banyak mengeluarkan gas karbon dioksida yang mampu menipiskan lapisan ozon bumi.

Justeru itu, kita harus memikirkan langkah-langkah yang terbaik yang boleh dilakukan dalam menangani permasalahan alam sekitar agar kesihatan dan kualiti persekitaran kita akan menjadi lebih baik untuk penggunaan generasi kini dan generasi akan datang.

Di Malaysia, sempena Hari Bumi pada Rabu, kerajaan digesa membatalkan rancangan membangunkan loji nuklear bagi menjana tenaga kerana kosnya yang mahal dan risikonya tinggi selain terdapat banyak sumber tenaga diperbaharui yang boleh dipertingkatkan, kata Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan.

Sempena sambutan Hari Bumi hari ini, semalam sekumpulan 15 aktivis PSM mengadakan protes dinamakan 'Flash Mob Tidur Bantah Nuklear' di hadapan kompleks Agensi Nuklear Malaysia. - Foto TRP/Azrol Ali
Sempena sambutan Hari Bumi hari ini, semalam sekumpulan 15 aktivis PSM mengadakan protes dinamakan ‘Flash Mob Tidur Bantah Nuklear’ di hadapan kompleks Agensi Nuklear Malaysia. – Foto TRP/Azrol Ali

“Kita mahu Malaysia bebas daripada nuklear kerana ia berisiko dan bertoksik serta membahayakan kehidupan rakyat.

“Selain kurang digunakan di dunia, ia juga menelan kos besar dan berisiko tinggi. Malaysia yang kaya dengan sumber alam semula jadi tidak memerlukan nuklear,” kata Arutchelvan kepada pemberita ketika ditemui selepas PSM mengadakan satu protes di hadapan kompleks Agensi Nuklear Malaysia kira-kira jam 11 pagi Selasa.

“Salurkan sumber kewangan dalam sumber tenanga diperbaharui seperti tenaga solar, angin dan ombak,” katanya mengetuai protes yang disertai kira-kira 15 orang yang dinamakan ‘Flash Mob Tidur Bantah Nuklear’ .

Sebelum ini media Rusia, Sputnik News dalam satu beritanya pada 13 April lalu melaporkan pihak Perbadanan Nuklear Rusia, Rosatom bersedia untuk membida bagi membangunkan loji tenaga nuklear pertama di Malaysia.

Timbalan Pengarahnya, Kirill Komarov berkata, Rusia sudah bersedia untuk mengambil bahagian dalam tender membina loji berkenaan walaupun Moscow dan Kuala Lumpur belum mempunyai perjanjian berkaitan tenaga nuklear.

Katanya, Moscow boleh menawarkan kerjasama dalam membina reaktor nuklear di negara-negara yang mempunyai rancangan pembangunan tenaga nuklear, seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam.