KUALA LUMPUR, 5 April:

Mayat ahli perniagaan, mendiang Datuk Tan Huat Seng, Ketua Eksekutif SP Baiduri Sdn. Bhd adalah jenazah terakhir dituntut ahli keluarganya dari Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini selepas Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Datuk Azlin Alias dan Razkan Seran.

Mayat mendiang Tan di bawa keluar pada jam 1.25 petang Ahad dan akan dibawa ke Xiao En Si, Nilai Memorial Park untuk upacara penghormatan.

Difahamkan, mayat mendiang akan dibakar sebelum abunya dibawa pulang ke Alor Setar petang ini.

Baki dua mayat mangsa nahas helikopter petang semalam, masih dalam proses dokumentasi dan dijangka kekal berada di Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) sepanjang hari ini.

Menurut jurucakap HKL, mayat juruterbang helikopter warga Amerika Syarikat, Kapten Clifford William Fournier dan pembantunya, Aidana Baizieva, kini dalam proses menunggu keputusan DNA bagi mengenal pasti identiti.

“Ketua Institut Perubatan Forensik Negara HKL sudah memaklumkan Kedutaan Amerika Syarikat mengenai keadaan mayat ketua juruterbang dan difahamkan keluarganya akan tiba ke Malaysia dan menuntut mayatnya esok.

Identiti mayat Kapten Clifford telah disahkan oleh wakil kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara hari ini.

“Bagaimanapun, identiti dan kewarganegaraan pembantu juruterbang masih belum dapat dikenal pasti serta masih belum ada waris menuntut mayatnya,” katanya kepada pemberita di HKL.

Proses bedah siasat dan pengecaman identiti ke atas mayat semua enam mangsa nahas helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) itu dijalankan sejak jam 2.10 pagi hingga 9.30 pagi ini.

Kumpulan bedah siasat diketuai oleh Pakar Perunding Kanan Forensik, Dr. Mat Shah Mahmood.

Manakala bagi mempercepatkan proses pengecaman identiti, sebanyak tiga pasukan Pengecaman Identiti Mangsa Bencana atau Disaster Victim Indentification (DVI) telah diwujudkan.

Helikopter jenis Dauphin dengan nama kod 9M-1GB itu yang membawa enam orang termasuk Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias, terhempas di satu kawasan kebun getah di Semenyih, jam 4.55 petang Sabtu.

Saksi yang melihat kejadian itu memberitahu pemberita bahawa helikopter itu meletup di udara sebelum terhempas, dan meletup sekali lagi dalam kawasan kebun getah.

Namun seorang juruterbang helikopter lain yang menyaksikan kejadian itu di udara dilaporkan hanya ternampak helikopter berkenaan menjunam sebelum terhempas ke tanah dan meletup.

Bagaimanapun pasukan penyiasat sudah menemui kotak hitam alat perakam suara kokpit helikopter berkenaan pagi ini yang dipercayai membantu siasatan.

Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, laporan awal siasatan nahas akan dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari.