SEMENYIH, 5 April:

Kotak hitam alat perakam suara helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) yang terhempas di Semenyih dan meragut enam nyawa, termasuk dua orang kenamaan dijumpai kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abu Samah Mat berkata, kotak hitam tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk tindakan lanjut.

“Kotak hitam itu ditemui dalam keadaan baik, berdekatan bangkai utama pesawat,” katanya kepada pemberita di lokasi nahas.

Beliau menjelaskan, sebuah pasukan khas yang disertai polis dan kakitangan DCA telah membuat pemeriksaan teliti, meliputi radius 500 meter persegi dari lokasi nahas, bagi mencari bahan bukti, termasuk barangan peribadi semua mangsa korban.

Pasukan berkenaan turut menemui beberapa bahagian tubuh mangsa, termasuk organ dalaman dan beberapa barangan lain, katanya.

“Siasatan akan diteruskan dengan menambah kawasan yang perlu disiasat, supaya berpuas hati dengan penemuan bukti baru,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, laporan awal siasatan nahas akan dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari.

“Kami akan menyiasat mengenai kemungkinan masalah mekanikal,” katanya yang juga ditemui di lokasi nahas.

Menurutnya, dua pegawai dari Kementerian Pengangkutan dan tiga dari DCA sedang berusaha menjalankan siasatan ke atas bangkai helikopter itu.

Beliau turut menafikan laporan helikopter itu terlanggar sesuatu, sebelum terhempas, petang semalam.

“Semua bangkai pesawat yang ditemui akan dipindahkan ke sebuah lokasi untuk siasatan,” katanya.

Helikopter jenis Dauphin dengan nama kod 9M-1GB itu yang membawa enam orang, termasuk Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias, terhempas di sebuah kawasan kebun getah jam 4.55 petang Sabtu.

Saksi yang melihat kejadian itu memberitahu pemberita bahawa helikopter itu meletup di udara sebelum terhempas, dan ia meletup sekali lagi di kawasan kebun getah.

Bagaimanapun, seorang juruterbang helikopter lain yang menyaksikan kejadian itu di udara, dilaporkan hanya ternampak helikopter berkenaan menjunam, sebelum terhempas dan meletup.

Semua enam mayat mangsa nahas itu sudah ditemui pasukan mencari dan menyelamat, melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam, beberapa jam selepas insiden itu.