SHAH ALAM, 3 April:

Penduduk di Jalan Plumbum 7/101A, Seksyen 7 diberi tempoh lima hari untuk membuat keputusan berpindah ke kawasan sekitar Shah Alam, bagi memudahkan kerja pembaikan dijalankan di kawasan itu, berikutan kejadian tanah mendap.

Pegawai Daerah Petaling, Datuk Mohd Misri Idris berkata, seramai 48 mangsa daripada sembilan keluarga dinasihatkan berpindah sejak malam tadi, akibat mendapan tanah yang semakin membimbangkan.

Menurutnya, ada sesetengah penduduk ditempatkan di Hotel De Palma, Shah Alam, sementara yang lain tinggal bersama saudara terdekat buat sementara waktu.

“Mereka diberikan tempoh lima hari, iaitu sehingga Rabu ini untuk memberi keputusan berpindah dan menyewa di sekitar kawasan Shah Alam.

“Kos sewaan RM2,000 sebulan akan ditanggung Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sehingga rumah mereka siap diperbaiki,” katanya kepada media selepas mengadakan perbincangan dengan PKNS, pada Jumaat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling berkata, selepas tempoh itu tamat, penduduk perlu mengosongkan kediaman mereka bagi tujuan pembaikan untuk suatu tempoh tidak diketahui.

Menurutnya, PKNS akan bertanggungjawab terhadap kawasan kediaman berkenaan, termasuk berbincang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan membantu proses pemindahan.

Mohd Misri berkata, siasatan awal mendapati, kejadian mendapan itu berpunca daripada tiga faktor, iaitu keadaan tanah tidak stabil, lembut dan mudah ada pergerakan, keadaan cuaca serta kerja pembinaan di i-City.

Sementara itu, Pegawai Kawalan Pembangunan Wilayah Utara PKNS, Siti Zubaidah Abdul Jabar berkata, aduan pergerakan tanah diperolehi pihaknya sejak 2011 dan pemantauan serta tindakan sudah diambil.

Menurutnya, lima perunding telah dilantik bagi mencari jalan penyelesaian untuk masalah mendapan ini, termasuk memberi tawaran kepada penduduk.

“Tempoh pembaikan memakan masa lapan hingga 12 bulan, selepas laporan keenam daripada konsultan dilantik diterima.

“Konsultan perlu memberi enam laporan dan sehingga Jun nanti, baru empat laporan yang akan siap, jadi ianya memerlukan masa untuk siasatan dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, pembaikan tersebut adalah bersepadu, kerana membabitkan kemudahan bawah tanah dan bergantung kepada kerosakan di bawah rumah.

Sementara itu, enam anggota polis dan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam ditempatkan bagi mengawal keselamatan dan harta benda penduduk.